Kota Kinabalu: Sabah menyatakan kebimbangan kemungkinan kes jangkitan Covid-19 di negeri ini meningkat semula berikutan kelonggaran pergerakan menerusi kebenaran rentas daerah bermula kelmarin dan peralihan ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Isnin ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kebimbangan itu berdasarkan kes jangkitan sporadik atau tidak diketahui punca yang menunjukkan peratusan agak tinggi seperti dilaporkan semalam.
Beliau berkata hampir 39 peratus atau 247 orang daripada 639 kes baharu Covid-19 di Sabah pada Sabtu adalah kes yang dikategorikan sebagai sporadik berdasarkan jumlah kes individu bergejala yang tidak diketahui punca jangkitan.
Katanya, kes sporadik berlaku disebabkan kelalaian individu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika bergaul atau berada dalam khalayak ramai.
“Peralihan Sabah ke Fasa 3 PPN yang membenarkan lebih banyak aktiviti sosial dan ekonomi bermula Isnin ini berkemungkinan akan meningkatkan lagi risiko jangkitan virus secara sporadik.
“Berikutan itu, adalah amat diharapkan keseluruhan masyarakat lebih bertanggungjawab dalam mematuhi semua SOP bagi mengelak jangkitan virus Covid-19.
“Pembukaan semula sempadan daerah dan peralihan Sabah ke Fasa 3 PPN meletakkan tanggungjawab ke atas setiap orang untuk menjadi benteng barisan hadapan dalam usaha kita membanteras virus Covid-19,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata keberkesanan pengambilan vaksin dalam mencegah jangkitan Covid-19 di negeri ini sudah dapat dilihat berdasarkan kategori pesakit yang dilaporkan setiap hari. –hmetro