KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersedia menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November hingga Februari depan dengan menggerakkan seramai 8,432 pegawai dan anggota pelbagai agensi di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong berkata, sebanyak 928 kenderaan pengangkutan darat dan 206 pengangkutan air serta logistik udara telah dikenal pasti dan bersedia untuk menangani banjir akibat musim tengkujuh.
Bagi kawasan yang sukar dilalui melalui jalan darat, Safar berkata sebanyak 75 tapak pendaratan helikopter telah disediakan termasuk di kawasan berhampiran pusat pemindahan sementara bagi memudahkan pemindahan penduduk dan penghantaran bantuan kepada mangsa.
“Selain itu, sebanyak 608 titik panas banjir di Sabah juga telah dikenal pasti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah bagi membincangkan persiapan menghadapi musim tengkujuh di Menara Kinabalu di sini pada Isnin.
Safar berkata, semua pegawai daerah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah diarah bersiap sedia untuk mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana di daerah masing-masing pada bila-bila masa.
Kerajaan Sabah, katanya, sentiasa memantau isu seumpama itu dan mengambil langkah sewajarnya bersama-sama jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan jentera pengurusan bencana di semua peringkat dapat berjalan lancar.
Turut hadir Setiausaha Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri Datuk Ag Shahminan Ag Sahari, Pengarah Pertahanan Awam Sabah Mohtar Samat dan Timbalan Pengarah (Penyelarasan Operasi) Nadma Rusli Ibrahim. –The Borneo Post