Sabah berdepan gangguan elektrik amat kritikal

Ronald-Kiandee.jpg

Datuk Seri Ronald Kiandee (gambar fail)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mempersoalkan ketidaksejajaran dasar kerajaan berhubung tenaga nuklear serta kelewatan penyelesaian masalah bekalan elektrik di Sabah.

Beliau berkata, selepas pengumuman kerajaan mengenai potensi tenaga nuklear, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula menyatakan bahawa tenaga nuklear masih belum menjadi keperluan mendesak untuk dilaksanakan di negara.

“Kenapa ada perbezaan tentang dasar dan pelaksanaan infra yang penting untuk rakyat yang berada di Sabah? Kalau kita lihat, banyak sumber tenaga iaitu solar, angin, fosil, termal, hydro dan nuklear.

“Jadi mana sumber tenaga yang sesuai kerana di Sabah kini berhadapan dengan masalah gangguan elektrik yang amat kritikal berbanding di tanah Semenanjung. Kenapa kerajaan masih tidak dapat menentukan mana yang sesuai untuk Sabah?

“Kita melihat bahawa jurang perbezaan infra tenaga antara tanah Semenanjung dengan Sabah ini berbeza, malah di kawasan Gua Musang dan kawasan Orang Asli adalah lebih baik tenaganya berbanding dengan beberapa kawasan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pelaksanaan tenaga alternatif termasuk nuklear, prosesnya memakan masa dan masih berada di peringkat kajian pra-pelaksanaan.

“Insya-Allah dari segi perancangan jangka pendek dan sederhana ini kita yakin bahawa perancangan di bawah Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Elektrik Negara (JPEC) dapat memenuhi keperluan semasa,” katanya.

Dalam soalan asal, Ronald Kiandee meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan potensi untuk tenaga nuklear dijadikan sebagai sumber tenaga negara dan minta menyatakan adakah kementerian mengkaji semula program nuklear yang sedia ada untuk menampung keperluan baharu ini. – HARAKAHDAILY 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top