Sabah Bentang RUU Anti-Lompat Parti Hujung November

DUN-Sabah.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Rang Undang-undang (RUU) anti-lompat parti dijangka dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada akhir November dengan kelulusan bergantung kepada sokongan blok pembangkang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

“Insya-Allah kita akan perkenalkan dan membawa (pembentangan RUU anti lompat parti) ke persidangan DUN nanti. Mungkin kita akan bersidang hujung November ini selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Ini bergantung kepada sokongan daripada pihak pembangkang kerana kita harus mempunyai dua pertiga majoriti untuk meluluskan RUU ini,” katanya menurut Berita Harian.

Sementara itu, mengulas berhubung ADUN Bandau Datuk Wetrom Bahanda yang dilaporkan keluar Bersatu bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyatakan sokongan kepada Warisan, Hajiji berkata, beliau “belum menerima sebarang pengesahan”.

Hajiji yang juga ketua Bersatu Sabah dan pengerusi GRS berkata belum ada pengumuman rasmi daripada Wetrom.

“Saya pun tidak tahu beliau lompat (dari parti secara rasmi) atau tidak. Kita belum ada lagi pengumuman rasmi daripada beliau (Wetrom),” katanya.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, sebelum ini mengesahkan pautan yang tular di media sosial mengenai Wetrom keluar Bersatu selepas dilihat menghadiri program anjuran Warisan.

Menurutnya, tindakan Wetrom dijangka berikutan bekas pembantu menteri kepada ketua menteri itu berhasrat bertanding pada PRU15 di kerusi Parlimen Kota Marudu, yang mana kerusi terbabit diperuntukkan kepada rakan Bersatu dalam GRS, iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS).

Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal setakat ini belum memberi sebarang pengesahan berhubung penyertaan Wetrom menyertai parti pimpinannya itu. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top