Sabah Bentang Enakmen Baharu Libatkan Isu Air

loji-air.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan membentangkan satu enakmen baharu berkaitan air sebagai usaha untuk menyelesaikan masalah membabitkan isu berkenaan di negeri tersebut.

Timbalan Ketua Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, langkah itu bagi memastikan satu undang-undang khusus digubal untuk memastikan isu berkenaan dapat diatasi secara menyeluruh.

Katanya, bagaimanapun perkara itu akan dibawa ke peringkat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas tempoh Proklamasi Darurat tamat.

“Kita akan pinda satu enakmen khusus yang akan mengawal sebarang bentuk aktiviti di kawasan berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) atau sepanjang sungai di negeri ini.

“Ini kerana, aktiviti seperti menebang pokok, membuka kebun dan sebagainya antara punca berlaku pencemaran sungai sehingga menjejaskan operasi LRA.

“Enakmen ini akan dibentang dalam Kabinet Negeri (dalam sidang DUN akan datang) sebelum ia diwartakan,” katanya kepada Astro AWANI, pada Ahad.

Beliau diminta mengulas berhubung sebanyak 23 LRA di negeri itu berada dalam keadaan kritikal dan berdepan masalah untuk membekalkan air bersih.

Terdahulu beliau bersama Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Edward Lingkapo hadir melakukan tinjauan di LRA Tongod, Sandakan.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, Jabtan Air Sabah memohon tempoh dua bulan untuk melalukan kajian berhubung masalah berkenaan.

Menurutnya, kajian itu bagi mewujudkan pelan jangka panjang dan hala tuju air Sabah yang lebih baik.

“Ia akan dibentangkan selepas semua kajian berkenaan isu air siap sepenuhnya.

“Namun, bagi penyelesaian jangka masa pendek, pihaknya akan menggunakan tiga kaedah termasuk membina tangki air dan membina kolam takungan air sebagai alternatif menyediakan air bersih kepada rakyat.

“Bagi penyelesaian jangka masa panjang, Sabah perlu mengubah keseluruhan struktur dan sistem pempaipan yang sudah lama selain membina empangan baharu di Penampang yang mampu bertahan sehingga 90 tahun akan datang,” jelasnya. –AWANI


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top