Sabah Benarkan Semula Aktiviti Pelancongan, Kebudayaan

Masidi-Manjun.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membenarkan semula aktiviti pelancongan dan kebudayaan di negeri itu dengan kapasiti 50% daripada premis pelancongan terlibat, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Masidi yang juga jurucakap rasmi COVID-19 kerajaan negeri berkata, antara tarikan pelancongan yang terlibat ialah zoo, akuarium, taman rekreasi, taman alam semula jadi, taman tema dan pusat hiburan keluarga.

Katanya, premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat seni warisan budaya dan pentas persembahan budaya juga dibenar beroperasi.

“Aktiviti tersebut dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal, mewajibkan pemakaian pelitup muka dan tertakluk kepada SOP (prosedur operasi standard) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di negeri ini yang berkuat kuasa hingga 31 Dis,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Masidi berkata, mesyuarat bersemuka bagi urusan rasmi di pejabat, hotel dan mana-mana institusi juga dibenarkan dengan kapasiti 50% bilik mesyuarat dan perlu mematuhi SOP mencegah COVID-19.

“Seminar, bengkel, kursus, latihan, persidangan dan ceramah turut dibenarkan semula mengikut SOP yang sama.

“Bagaimanapun latihan dalam perkhidmatan yang sedang berjalan hanya boleh dilaksanakan dalam kawasan institusi latihan sahaja,” katanya.

Selain itu beliau berkata, majlis kerajaan dan swasta serta majlis sosial seperti kenduri, perkahwinan, sambutan ulang tahun, tahlil dan doa selamat turut dibenarkan dengan SOP sama.

“Bagaimanapun semua aktiviti yang dibenarkan semula ini masih tidak dibenarkan dalam lokaliti yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD),” katanya.

Masidi berkata, kerajaan negeri masih tidak membenarkan aktiviti berkelah, penganjuran sukan serta pertandingan, rekreasi melibatkan ramai, aktiviti melibatkan sentuhan dan acara melibatkan kehadiran penonton serta peserta dari luar negara.

Beliau berkata, aktiviti di kelab malam atau pub, panggung wayang dan konsert atau acara langsung dengan kehadiran penonton juga masih tidak dibenarkan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top