Sabah Benarkan Operasi Pengangkutan Awam Mulai Esok

hajiji-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memutuskan untuk membenarkan operasi pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas ekspres, bas persiaran, bas henti-henti, kereta api, perkhidmatan feri awam dan bot penumpang yang melibatkan rentas negeri dan daerah mulai esok, Isnin, 7 Disember 2020.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, ini selaras dengan pelanjutan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Sabah bagi tempoh 14 hari lagi sehingga 20 Dis yang turut memberi beberapa kelonggaran berhubung aktiviti ekonomi, pelancongan domestik, industri, hiburan dan pengangkutan awam.

Beliau berkata, operasi pengangkutan awam perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, termasuk hanya 50% kapasiti penumpang dan perlu memastikan pematuhan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

“Perkhidmatan teksi dan e-hailing juga dibenarkan beroperasi dengan maksimum dua penumpang dan memastikan pematuhan penjarakan fizikal di dalam kenderaan serta pemakaian pelitup muka,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Terdahulu semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya berkata, keputusan melanjutkan tempoh PKPB di Sabah adalah berdasarkan nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM)yang mendapati masih terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di beberapa daerah di negeri itu.

Kerajaan juga mengambil keputusan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara tanpa kebenaran polis kecuali di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, pergerakan keluar bot kecil dari pulau di Sabah ke tanah besar, termasuk pergerakan bot di kawasan pesisiran pantai hanya dibenarkan mulai 6 pagi hingga 6 petang dengan kapasiti 50%.

Beliau berkata, pergerakan bot nelayan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Sabah turut dibenarkan mulai 6 pagi hingga 6 petang, namun, hanya di jeti dibenarkan sahaja.

“Kebenaran ini tertakluk kepada permit yang akan dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri turut mengambil keputusan untuk tidak membenarkan pergerakan semua kapal “Non-Convention Ships” (NCS) Indonesia dan Filipina yang memasuki perairan ESSZone serta semua kapal NCS Malaysia dari perairan ESSZone ke Filipina dan Indonesia.

Kapal pengangkut ikan Indonesia ke Tawau dan kapal NCS dari Filipina yang melalui perairan Sabah ke Labuan juga tidak dibenarkan, katanya. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top