SIPITANG: Sabah belum dapat mengikuti langkah Sarawak dalam membentuk kerjasama politik yang hanya melibatkan parti tempatan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata Sabah masih memerlukan kerjasama antara parti tempatan melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan-rakan parti nasional lainnya.
Beliau menambah bahawa gabungan kerjasama GRS – Pakatan Harapan (PH) Plus yang sedang membentuk kerajaan negeri kini adalah struktur yang sudah ada dan akan dikekalkan dalam PRN akan datang.
“Dalam politik kita mesti kerjasama dengan rakan kita dan inilah kita dalam GRS sekarang, kita mesti satu hati. Kita juga mesti bekerjasama dengan parti nasional yang sudah ada di Sabah sekarang.
“Inilah ‘setup’ (persediaan) kita di Sabah, kita belum dapat macam Sarawak. Suka atau tidak, inilah keadaan kita di Sabah. Apa yang penting ialah kita kukuhkan perpaduan di kalangan kita dalam GRS dengan rakan PH dan lain-lain.
“Kalau kita bekerjasama, tiada sabotaj sana sini, tolong-menolong antara satu sama lain, saya yakin kita boleh menang dengan mudah pada PRN nanti,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin, di Dataran QSS sini, pada Sabtu.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan kepimpinan Gagasan Rakyat Negeri.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat turut mengingatkan ahli parti itu, termasuk di Sindumin supaya memastikan Gagasan Rakyat terus diperkukuhkan, selain menjaga kerjasama dengan rakan dalam GRS dan parti nasional.
“Kuatkan perpaduan di antara kita, mantapkan juga kerjasama dengan rakan dalam GRS dan PH Plus. Kita perlu saling membantu antara satu sama lain untuk memastikan kemenangan di Sindumin dan semua kawasan lain pada PRN nanti,” katanya.