Sabah Bakal Terima Tambahan 2.2 Juta Dos Vaksin

Hajiji-Ranau.jpg

RANAU: Sabah bakal menerima lebih dua juta dos vaksin COVID-19 dalam usaha meningkatkan jumlah pemberian vaksin di negeri ini terutama di kawasan pedalaman.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bekalan vaksin itu akan tiba dalam dua kumpulan, iaitu satu juta dos vaksin pada bulan ini dan selebihnya 1.2 juta dos lagi pada bulan depan.

Beliau berharap, pemberian vaksin ini akan berjalan lancar termasuk untuk program jangkauan luar (mobile outreach) sekali gus memastikan tiada penduduk yang tercicir dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Kita tahu di luar bandar mereka tidak menggunakan aplikasi MySejahtera dan menerusi program ‘mobile outreach’, suntikan vaksin akan diberikan kepada mereka jika datang ke program berkenaan.

“Justeru, dengan penambahan vaksin pada bulan ini dan bulan depan, sudah pasti membantu meningkatkan jumlah penduduk yang menerima vaksin di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian, selepas sesi penyampaian bantuan tunai sekali bayar kepada Persatuan Malim Gunung Kinabalu (PEMANGKINA) di Dewan Kinabalu, Taman Kinabalu, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.

Pada majlis sama, Hajiji turut menyampaikan bantuan tunai secara “one-off” RM300 kepada 290 malim gunung dengan nilai keseluruhan berjumlah RM87,000.

Selain itu, beliau juga menyampaikan bantuan bakul makanan dan replika cek bernilai RM30,000 kepada Persatuan Malim Gunung Kinabalu menerusi peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, manakala RM20,000 kepada Persatuan Porter Gunung Kinabalu menerusi peruntukan Taman-Taman Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top