Sabah bakal kemuka tuntutan 40 peratus hasil secara rasmi

dr-jeffrey-1.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengemukakan tuntutan secara rasmi kepada Persekutuan bagi pengembalian 40 peratus hasil bersih negeri ink berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata tuntutan itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet Sabah akan datang untuk disemak dan diluluskan sebelum dibawa ke Putrajaya.

“Ia bagi membolehkan fakta, asas dan jumlah ini diserahkan kepada Jawatankuasa Teknikal MA63 untuk disemak kerajaan Persekutuan.

“Kita harap akan ada keputusan sebelum atau pada 18 Julai ini,” katanya sebagaimana dilaporkan BERNAMA hari ini.

Julai lalu mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof memutuskan bahawa penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil bersih atau geran khas Sabah dijangka dicapai dalam tempoh setahun.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata walaupun penyelesaian isu berkenaan menjangkau tempoh setahun pada 18 Julai ini, terdapat isu berbangkit gagal diselesaikan hingga kini.

Dia yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa berkenaan baru-baru ini berkata, dalam mesyuarat tersebut Sabah telah menjelaskan pendirian berkenaan malah sebelum ini telah lapan kali meminta data berkaitan tanpa maklum balas daripada kerajaan Persekutuan.

“Kami telah meminta data itu secara rasmi (daripada kerajaan Persekutuan) kerana tidak ada data berkenaan.

“Mereka telah kumpul (data) tetapi tidak beritahu kami, jadi kami mahu tahu daripada mereka. Disebabkan mereka tidak beri, kini kami mengambil inisiatif untuk melakukannya (tuntut daripada kerajaan Persekutuan),” katanya pada sidang media sempena Pesta Kaamatan di Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang hari ini.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top