Sabah Bakal Bangunkan Bandar Sempadan Serudong-Simanggaris

hajiji-dun.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membangunkan Bandar Sempadan Serudong-Simanggaris di sebuah kawasan yang sudah dikenal pasti susulan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan bandar di bawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) itu dilakukan dengan mengambil kira potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh Sabah.

“Pembangunan Bandar Sempadan itu akan melibatkan pembinaan jalan raya yang menghubungkan Kalabakan ke Simanggaris, Kalimantan berserta pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS)  di pintu masuk untuk pemeriksaaan rentas sempadan.

“Usaha ini sudah pasti akan memberi impak positif kepada ekonomi dan sosial di kawasan sempadan negeri Sabah dan Kalimantan,” katanya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Hajiji (Bersatu-Sulaman) berkata, kerajaan negeri juga sedang mempergiatkan usaha untuk merealisasikan beberapa pelaburan baharu yang dianggarkan kira-kira RM25 bilion.

“Ia termasuk projek pembuatan kaca photovoltaic (solar panel), pembangunan Bandar Pintar Tanjung Lipat, penanaman herbal perubatan di Kundasang, pembangunan resort eko-pelancongan di Pulau Mengalum dan pembangunan hartanah di atas tanah Yayasan Sabah seluas 10 ekar di Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.

“Di samping itu, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) juga dijangka akan menerima pelaburan baharu melibatkan Projek ZLNG oleh PETRONAS, penapisan minyak kelapa sawit bersepadu, pembuatan produk logam silicon, pemprosesan kitar semula teknologi hijau e-waste, kemudahan rawatan sisa perindustrian (industrial waste treatment facility) dan perkhidmatan marin,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top