KOTA KINABALU: Sabah merupakan antara pengeksport utama hasil ikan segar di Malaysia, menyumbang RM2.03 bilion atau kira-kira 15.7 peratus setahun kepada KDNK Negeri (keluaran dalam negara kasar).
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata angka itu sejajar dengan sektor perikanan negeri yang telah mencapai tahap sara diri 100 peratus, dengan mencatatkan jumlah lebihan hasil yang ada untuk eksport memuncak 25,477 tan metrik setakat Oktober tahun ini.
Bagaimanapun, beliau berkata Kerajaan Negeri sedang menggariskan strategi jangka panjang untuk memastikan keselamatan stok ikan, termasuk pengurusan mampan sumber marin negeri melalui sistem pengezonan untuk tangkapan ikan mengikut saiz kapal nelayan.
“Kita juga akan mengawal kuantiti dan kualiti hasil ikan untuk bekalan domestik dan eksport melalui pengeluaran permit import dan eksport. Sehingga November 2021, terdapat 75 pengeksport dan pengimport berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri,” kata Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri. Jeffrey menjawab soalan Adun Sindumin (Bebas) Datuk Dr Yusof Yacob mengenai usaha kerajaan memastikan keselamatan makanan di Dewan Undangan Negeri Khamis lepas,
Selain itu, beliau juga berkata Jabatan Perikanan Negeri turut menambah bilangan tukun tiruan bagi melindungi habitat ikan, pembiakan dan meningkatkan populasi stok ikan, dengan 139 tukun tiruan dipasang di sembilan lokasi di perairan seluruh Negeri tahun ini. “Program untuk memulihara ekosistem marin melalui aktiviti penanaman semula karang juga sedang dijalankan pada masa ini, dengan tiga syarikat sedang giat membiak batu karang,” katanya.
Kredit foto: Jabatan Perikanan Sabah