Sabah Antara Negeri Pengeksport Utama Pada Mei 2023

sabah-port.jpg

Gambar hiasan.

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Sabah merupakan salah satu daripada lima negeri yang menjadi pengeksport utama pada Mei 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagaimana dilaporkan oleh Bernama.

Empat lagi negeri ialah Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur. Bersama-sama Sabah negeri-negeri itu menyumbang sebanyak 82.5 peratus daripada jumlah eksport Malaysia bagi tempoh tersebut.

Dalam kenyataan Statistik Import Mengikut Negeri Mei 2023 semalam, ia berkata jumlah eksport negara bagi bulan itu mencecah RM223.8 bilion dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM119.6 bilion dan RM104.2 bilion.

Pulau Pinang mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport utama dengan menyumbang 29.0 peratus dan diikuti oleh Johor (21.1 peratus); Selangor (18.5 peratus); Sarawak (8.1 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (5.8 peratus).

Menurut DOSM, eksport susut 0.7 peratus atau RM884.4 juta (-0.7%) berbanding bulan sama pada 2022 manakala import turun 3.3 peratus bagi tahun ke tahun atau RM3.6 bilion.

Kebanyakan negeri mencatatkan eksport lebih rendah termasuk Pulau Pinang (-RM2.4 bilion); Sabah (-RM1.1 bilion); Sarawak (-RM942.2 juta); Pahang (-RM742.7 juta); Labuan (-RM594.2 juta); Terengganu (-RM394.3 juta); Perak (-RM156.3 juta) dan Johor (-RM71.0 juta).

Namun, nilai eksport meningkat di Selangor iaitu RM2.0 bilion; Kuala Lumpur (+RM1.3 bilion); Kedah (+RM1.0 bilion); Negeri Sembilan (+RM423.4 juta); Melaka (+RM324.1 juta); Kelantan (+RM273.0 juta) dan Perlis (+RM3.5 juta).

Dalam pada itu, jabatan itu berkata prestasi import mengikut negeri pada Mei 2023 turun RM3.6 bilion (-3.3 peratus) daripada tempoh sama pada 2022.

“Penurunan ini berikutan import lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM7.9 bilion); Kedah (-RM1.2 bilion); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (-RM1.2 bilion); Perak (-RM325.3 juta); Labuan (-RM190.1 juta) dan Pahang (-RM21.2 juta),” katanya.

Bagaimanapun, sembilan negeri mencatat peningkatan import iaitu Selangor (+RM3.3 billion); Johor (+RM1.4 bilion); Melaka (+RM1.2 bilion); Sarawak (+RM733.3 juta); Terengganu (+RM290.5 juta); Negeri Sembilan (+RM143.2 juta); Sabah (+RM119.7 juta); Perlis (+RM37.9 juta) dan Kelantan (+RM7.9 juta).

Menurutnya, Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan merekodkan 28.1 peratus dan seterusnya Johor (22.2 peratus); Pulau Pinang (19.7%); Kuala Lumpur (6.7 peratus) dan Kedah (4.8 peratus).

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top