KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan bantuan daripada pertubuhan seperti Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) untuk menggalakkan pembangunan ekonomi Sabah seiring dengan matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata Sabah terletak secara strategik di tengah-tengah Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina atau BIMP-EAGA.
“Melalui kerjasama serantau ini, Sabah berada di barisan hadapan untuk menggalakkan kerjasama ekonomi dalam memastikan pembangunan Koridor Ekonomi BIMP-EAGA tercapai.
“Sabah terbuka untuk perniagaan dan kita mengalu-alukan pelabur untuk datang ke Sabah dan meneroka apa yang kita tawarkan seterusnya mewujudkan perkongsian menang-menang,” katanya dalam ucapan khasnya semasa mesyuarat perundingan ASEAN-BAC Malaysia dengan Kerajaan Negeri dan agensi yang dijalankan melalui Zoom kelmarin.
Beliau diwakili Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Dr Ahemad Sade dan turut mengambil bahagian Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia Tan Sri Datuk Dr Munir Majid, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Datuk Madiyem Layapan, Ketua Pegawai Pelaburan Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) Kevin Ukang.
Hajiji berkata banyak perkara serta kerjasama yang boleh dibincangkan dalam rancangan pemindahan ibu kota Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur dan perpindahan yang lebih ramai ke Borneo dijangka mampu mengukuhkan kedudukan dan merangsang aktiviti ekonomi Sabah.
“Pelabur dalam dan luar negara akan mendapat akses kepada subrantau ini dengan pasaran lebih 70 juta individu dan dijangka semakin berkembang yang perlu dimanfaatkan pelbagai sektor.
“Sabah sebelum ini mencatatkan pelaburan asing bernilai RM4.4 bilion yang ketara setakat Jun tahun lepas iaitu yang ketiga terbesar di negara ini selepas Kedah dan Selangor.
“Kita yakin Sabah akan menjadi destinasi positif untuk pelaburan tambahan pula keadaan semasa yang semakin baik dan saya yakin ekonomi negeri berada di landasan yang betul,” katanya.
Menurutnya Sabah mencatatkan RM5.449 bilion hasil pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ pada 2021 iaitu yang tertinggi dalam rekod.