Sabah Alami Pertumbuhan Pesat Hasil Sifat Saling Menghormati Di Kalangan Rakyat

hajiji-3.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor menzahirkan rasa bangganya dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan Sabah, yang tidak pernah menghalang mereka hidup dalam suasana aman dan harmoni serta saling menghormati antara satu sama lain.

“Keamanan dan keharmonian masyarakat kita telah membuka ruang yang luas untuk kita mengeksploitasi keupayaan diri dan membawa keluarga, masyarakat, negeri serta negara ke tahap yang lebih baik.

“Dengan usaha ini kita akan menghakiskan segala halangan yang boleh memisahkan antara kita sebagai bangsa Malaysia,” tegasnya.

Atas faktor itu, beliau berkata Sabah mampu mencatat pertumbuhan yang konsisten melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan di seluruh negeri.

Beliau berkata pelaksanaan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) misalnya, kini berada di landasan yang betul untuk membawa negeri dan rakyatnya ke hadapan.

Menurutnya, agenda SMJ akan memberi manfaat kepada Sabah khususnya penduduk di kawasan luar bandar agar tidak ketinggalan menikmati hasil pembangunan.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kami sentiasa komited untuk memastikan semua perancangan, dasar dan program berjalan lancar,” kata Hajiji.

Ketua Menteri it berkata demikian dalam rakaman perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 di sini pada Jumaat.

“Semasa menyambut Aidilfitri yang penuh barakah ini, untuk merenung kembali apa yang telah berlaku sepanjang tahun sebelumnya dan berusaha untuk melakukan yang lebih baik bagi kejayaan masa depan,” katanya lagi.

“Ini juga masanya untuk kita mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

“Saya mendoakan yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia di Sabah sempena hari yang mulia ini. Marilah kita meluangkan masa untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang tidak dapat meraikan menyambut Hari Raya Aidilfitri ini demi berkhidmat untuk negara.

“Kita juga merakamkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, pegawai penguatkuasa undang-undang, petugas kesihatan yang bekerja tanpa jemu, berkhidmat serta melindungi rakyat dan negara kita.

“Marilah juga kita terus mengingati mereka yang memerlukan dan serba kekurangan serta menunjukkan rasa empati terhadap nasib mereka,” katanya.

Bagi pihak kerajaan negeri dan keluarga, beliau mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top