KINABATANGAN: Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan ditubuhkan selewat-lewatnya awal tahun depan di Sabah, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Mohd Arifin Mohd Arif.
Beliau berkata, penubuhan majlis itu penting bagi memperkasakan pelaksanaan program TVET dan juga berkaitan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di negeri ini.
“Ketika ini, kita (kementerian) sedang membuat kertas kerja untuk dikemukakan ke Jemaah Menteri negeri agar Sabah selewat-lewatnya awal tahun depan akan ada Majlis TVET Negeri Sabah.
Kita sudah ada Jawatankuasa Sains Negeri Sabah dan kita akan pacu dua jawatankuasa ini untuk memperkasa TVET dan STEM di negeri ini, katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Festival Pendidikan STEM dan TVET Sabah pada Sabtu.
Mohd Arifin berkata, Majlis TVET Negeri Sabah akan dianggotai wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sabah; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah; Universiti Malaysia Sabah; selain tokoh serta pakar dalam bidang TVET.
Saya ada bincang dengan Ketua Menteri (Hajiji Noor) mengenai perkara ini, katanya.
Mohd Ariffin berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serius mengambil pendekatan kerjasama dengan rakan strategik bagi menarik minat pelajar sekali gus merealisasikan sasaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sasaran KPM mencapai nisbah 60:40 pelajar sains berbanding sastera atau sains sosial pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi, dan Sabah seiring dengan sasaran KPM, katanya lagi.
Sementara itu, beliau berharap Festival Pendidikan STEM dan TVET dapat membuka mata semua sekolah dengan mempromosi keunikan bidang STEM serta TVET secara holistik dengan mengadakan program yang unik serta mudah difahami warga sekolah terutama pelajar. – BERNAMA