Sabah akan teruskan Sabah-MM2H walaupun tanpa lampu hijau Putrajaya

christina.jpg

Christina Liew (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah akan meneruskan program Sabah-Malaysia My Second Home (Sabah-MM2H) sama ada pihak berkuasa persekutuan memberi lampu hijau atau tidak, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Datuk Christina Liew.

Beliau berkata Sabah-MM2H telah terganggu secara tidak wajar selepas lebih setahun perancangan dan persiapan berikutan arahan tiba-tiba daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Persekutuan (MOTAC) kepada semua ejen berlesen yang mengendalikan permohonan MM2H untuk menghentikan operasi mereka.

Beliau berkata keputusan negeri itu tidak menggantikan arahan Kerajaan Persekutuan tetapi hanya menyediakan pilihan alternatif kerana ia sedia untuk dilaksanakan.

“Kami sudah bersedia tiga bulan lalu dan sepatutnya melancarkannya pada 1 Jun,” kata Liew, sambil menambah pihak berkuasa negeri berharap mendapat maklum balas daripada MOTAC mengenai semakan arahan itu.

“Kami akan melantik wakil kementerian kami yang berkelayakan untuk membantu pemohon dalam proses itu,” kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah di sini pada Jumaat.

Beliau menambah bahawa kementeriannya telah bertemu dengan imigresen negeri dan agensi penguatkuasaan undang-undang yang terlibat dalam kelulusan MM2H.

Beliau berkata MOTAC bertanggungjawab mengeluarkan lesen untuk ejen MM2H dan perkara berkaitan.

“Kami terkejut apabila MOTAC menggantung operasi semua ejen berlesen dalam memproses permohonan baharu, dengan serta merta.

“Langkah yang tidak baik ini telah menjejaskan kemajuan kami termasuk pelancaran program berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.

Beliau tidak berpuas hati dengan hal itu berkata, MOTAC mengeluarkan pekeliling bertarikh 27 Mei 2024 kepada semua ejen berlesen yang mengendalikan permohonan MM2H, termasuk di Sabah dan Sarawak, untuk menghentikan operasi mereka.

“Berikutan itu, KePKAS menulis surat kepada MOTAC pada 28 Mei untuk menjelaskan segala persiapan kami untuk merasmikan program Sabah-MM2H selewat-lewatnya pada 1 Jun.

“Pada masa yang sama, kami meminta semakan semula keputusan MOTAC untuk menggantung operasi ejen berlesen, terutamanya ejen Sabah, yang sebahagian daripada mereka masih memegang lesen sah yang diluluskan dan dikeluarkan oleh MOTAC.

“Jika gagal, Kementerian saya akan bertindak sewajarnya untuk melantik dan memberi kuasa kepada wakil negeri untuk memproses permohonan bakal pemohon untuk Program Sabah-MM2H,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top