Sabah akan teliti dan pertimbang semula cadangan penganjuran Bersama Sukan SEA 2027

SEA-games-2027.jpg

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan meneliti dan menilai semula cadangan menjadi salah satu penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat pada Rabu lalu dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Mesyuarat ini telah menilai dengan mendalam pelbagai aspek berkaitan cadangan tersebut.

“Walaupun cadangan awal Sabah untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027 memerlukan persetujuan Jemaah Menteri, kami telah bersetuju untuk meneliti dan mempertimbangkan semula Cadangan tersebut,” jelas Ellron dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ellron juga menambah bahawa Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai penganjuran bersama Sukan SEA 2027.

“Saya akan segera bertemu dengan Menteri KBSM untuk mendalami dan membincangkan perkara ini secara terperinci. Hasil daripada perbincangan tersebut akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri Sabah untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya.

Walaupun proses penilaian ini masih berjalan, Ellron yang juga seorang bekas pelari pecut kebangsaan, menegaskan bahawa kerajaan negeri amat menyambut baik hasrat kerajaan Persekutuan menganjurkan temasya sukan tersebut dan akan memberikan sokongan penuh serta bekerjasama erat untuk memastikan kejayaan Sukan SEA 2027.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top