Sabah Akan Pastikan Industri Pelancongan Berjaya Melalui Pelan Pemulihan Komprehensif

Hajiji-MATTA.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi jaminan akan memastikan industri pelancongan di Sabah berjaya melalui pelan pemulihan pelancongan yang komprehensif.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai reaksi balas terhadap cadangan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) untuk menghidupkan semua industri pelancongan pasca COVID-19.

Beliau berkata, di bawah Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0, kerajaan memperuntukkan RM2.88 juta menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Katanya, bantuan berkenaan untuk diagihkan kepada pemandu pelancong, penyelam, malim gunung, porter, pengusaha hotel dan pengendali inap desa yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Hajiji turut bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan malim gunung bagi memberikan bantuan sekali gus menyaksikan pengendalian program vaksinasi pelancongan di Kundasang Ranau.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan Jawatankuasa MATTA yang diketuai oleh Presidennya Datuk K.L Tan di sini semalam.

Pada pertemuan itu juga Hajiji menyatakan kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk di negeri ini menerima vaksinasi menjelang Oktober depan.

Katanya, sasaran berkenaan akan membolehkan lebih banyak sektor perniagaan dan perkhidmatan dibuka semula termasuk pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Beliau turut mengulangi gesaannya agar kerajaan Persekutuan mempercepatkan bekalan vaksin ke Sabah yang melibatkan sebanyak 600,000 dos vaksin bulan ini dan 1.2 juta dos pada Ogos.

“Kami mahu mengekalkan momentum untuk memastikan penduduk mendapat vaksin secepat mungkin,” katanya.

 

FOTO: FB Hajiji Haji Noor


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top