KOTA KINABALU: Sabah dijangka merekodkan kutipan hasil negeri tertinggi pada tahun ini sebanyak RM4.917 bilion, kata Ketua Menteri, Hajiji Noor.
Beliau berkata, antara faktor menyumbang kepada peningkatan hasil itu adalah pembayaran Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi produk dan gas, selain harga purata minyak sawit mentah dan minyak mentah petroleum yang lebih tinggi berbanding kadar harga diramalkan semasa penyediaan Anggaran Hasil 2021.
“Sasaran kutipan hasil 2021 dijangka bertambah sebanyak 9.6% atau RM430.67 juta, menjadikan Anggaran Hasil Disemak 2021 telah meningkat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16.
Ini bermakna, tahun 2021 bakal melakar sejarah baharu bagi Sabah dengan rekod anggaran hasil negeri tertinggi sejak merdeka dengan jumlah RM4.912 bilion.
Hajiji, yang juga Menteri Kewangan Sabah, berkata rundingan antara kerajaan negeri, persekutuan serta Petronas bagi membincangkan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) telah dimuktamadkan.
Katanya, persefahaman dan persetujuan dicapai antara kedua-dua belah pihak, sekali gus memastikan perjanjian CCA dapat ditandatangani dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, beliau berkata, pertumbuhan ekonomi Sabah dijangka menunjukkan aliran pemulihan dan berkembang secara perlahan, tetapi positif pada kadar 3.8% hingga 4% tahun ini.
Katanya, jumlah keseluruhan eksport negeri dalam enam bulan pertama tahun ini meningkat 22.7% dan mencecah RM24.9 bilion berbanding RM20.3 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Hajiji berkata, ia didorong pengukuhan harga dan peningkatan nilai eksport beberapa komoditi utama, khususnya minyak sawit serta petroleum mentah, manakala jumlah nilai import negeri bagi enam bulan pertama tahun ini menyusut 34.5% kepada RM15.2 bilion.
“Oleh itu, Sabah mencatatkan lebihan dagangan positif sejumlah RM9.7 bilion pada enam bulan pertama tahun ini berbanding hanya RM3.3 bilion sepanjang 2020.”
Beliau berkata, kadar inflasi Sabah dari Januari hingga Jun lalu adalah 1.4% berbanding -1.5% dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, antara isu utama yang perlu ditangani segera ketika ini adalah kesihatan awam, kos sara hidup, ketidakseimbangan pembangunan wilayah, kadar kemiskinan dan pengangguran berkait rapat dengan tuntutan keutamaan untuk memulihkan kedudukan ekonomi bagi memastikan kesejahteraan rakyat.
Beliau yakin prospek ekonomi Sabah pada 2022 akan menunjukkan aliran pemulihan lebih baik, sejajar pemulihan ekonomi di peringkat nasional dan global, apabila unjuran ekonomi Sabah bagi tahun depan dijangka tumbuh pada paras 5% hingga 4.5%.
“Kita akan memantau dan memastikan semua projek yang disenaraikan dalam Bajet 2022 persekutuan dan negeri akan dilaksanakan segera untuk menggerakkan rangsangan ekonomi sepenuhnya.”