KOTA KINABALU: Sabah Air Aviation Sdn Bhd (SAASB) belum memohon lesen perkhidmatan udara (ASL) yang membolehkannya melakukan penerbangan berjadual dan beroperasi secara perkongsian kod dengan syarikat penerbangan lain.
FMT dalam laporannya memetik Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sebagai berkata ketika ini syarikat itu memegang permit perkhidmatan udara (ASP) yang membolehkannya menjalankan penerbangan tidak berjadual.
“Setakat ini, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia tidak menerima sebarang permohonan bagi lesen perkhidmatan udara yang membolehkan Sabah Air melakukan penerbangan berjadual dan perkongsian kod dengan syarikat penerbangan lain,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) yang meminta penjelasan berhubung pemberian lesen dan hak mendarat kepada Sabah Air supaya dapat menambah penerbangan selain beroperasi menerusi perkongsian kod dengan syarikat lain.
Tahun lalu, media melaporkan SAASB merancang menubuhkan syarikat penerbangan milik Sabah dan beroperasi menjelang tahun ini.
Pengerusinya Datuk Kenny Chua juga berharap dapat menandatangani perjanjian sewaan sekurang-kurangnya tiga pesawat menjelang akhir tahun lalu, tanpa terhad kepada Airbus atau Boeing.
Chua berkata syarikat penerbangan baharu itu akan mengikuti model perniagaan kos rendah yang boleh bersaing dengan pengendali sedia ada.
Laluan yang sangat menguntungkan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu kini dikendalikan Malaysia Airlines, Firefly dan AirAsia.
Tiga nama berpotensi untuk syarikat penerbangan itu iaitu Sabah Airlines, Air Borneo atau Borneo Airlines.
Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang perkembangan atau pengumuman berhubung perkara itu.