KOTA KINABALU: Bekas pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei melahirkan rasa gembira dan bangga apabila dilantik sebagai duta pelancongan Sabah.
Chong Wei, 39, terdahulu dianugerah pingat Jaksa Pendamai oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sempena sambutan ulang tahun ke-68 beliau di Kota Kinabalu, Khamis lalu.
“Sabah, negeri di bawah bayu. Negeri yang sememangnya indah seperti namanya dan rakyatnya. Dari Gua Gomantong, Pulau Sipadan ke Gunung Kinabalu. Tidak dinafikan antara yang terbaik di dunia,” tulis Chong Wei dalam hantaran terbaharu di media sosial.
“Bunga terbesar dunia rafflesia ada di Sabah. Bunga karnivor terbesar dunia nepenthes rajah juga ada di Sabah. Jadi saya amat bangga sekali apabila diberi penghormatan sebagai ‘duta pelancongan Sabah’.
“Mat salih sanggup naik kapal terbang berpuluh-puluh jam untuk datang ke sini. Orang Malaysia yang tidak pernah sampai Sabah, tunggu apa lagi? Jom cuti-cuti Sabah,” tulis pemenang tiga pingat perak perseorangan lelaki Sukan Olimpik itu.
Chong Wei turut menyatakan negeri Sabah banyak membawa ‘ong’ dalam kariernya.
“Sukma (Sukan Malaysia) pertama saya di Sabah. Final Terbuka Malaysia pertama saya di Sabah. Kemenangan Super Series pertama saya juga di Sabah. Memang bawa ‘ong’ Sabah buat saya.”
Chong Wei melakar rekod menjuarai Terbuka Malaysia sebanyak 12 kali selain tampil pada perlawanan akhir 14 kali.
Beliau juga menghuni ranking nombor satu dunia selama 349 minggu, termasuk 199 minggu berturut-turut dari 21 Ogos 2008 hingga 14 Jun 2012.
Secara berseloroh, Chong Wei memperkatakan mengenai hutan Amazon dan Borneo.
“Hutan Amazon kamu semua mesti tahu kan? Tahukah hutan hujan Borneo lebih tua daripada Amazon? Siapa mahu buat bisnes ala Amazon boleh curi pakai nama Borneo. Nanti kaya macam Jeff Bezos jangan lupa Chong Wei ya!” – HMetro