Sabah 0, JDT 2

Sabah-vs-JDT.jpg
Kongsi Bersama

ISKANDAR PUTERI: Penyandang juara Liga Super tujuh musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah menundukkan skuad Badak 2-0 pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan kembali menjarakkan kedudukan di persada liga dengan perbezaan lapan mata di hadapan pencabar terdekat pasukan Terengganu FC.

Leandro Velazquez yang kembali menyertai pasukan JDT setelah pulih dari kecederaan menjadi perancang utama pasukan dengan mengatur gerakan gol yang dijaringkan Bergson Da Silva.

Pasukan JDT hampir mencetak gol pertama pasukan seawal minit kedua menerusi hantaran silang Bergson namun gagal disudahkan Safawi Rasid setelah tandukannya melewati palang gol.

Gol pertama JDT hadir menerusi gerakan direncanakan Leandro yang menghantar bola kepada Safawi yang tidak dikawal di sayap kanan lalu melorong bola kepada Bergson yang melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol pada minit ke-19.

Dua minit berselang, Leandro bijak mencipta peluang dengan membuat hantaran jauh kepada Bergson yang mudah melepasi perangkap ofsaid pasukan Sabah sebelum melakukan sepakan lambung yang mẹmbuatkan penjaga gol, Rozaimie Rohim terpaku melihat bola menerjah gawang.

Skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto hampir memperoleh gol pertama namun rembatan deras kapten Risto Mitrevski ke arah penjuru gol pada minit ke-28 menerusi sepakan percuma berjaya dikuis keluar Farizal Marlias.

Pasukan tuan rumah hampir menambah jaringan menerusi hantaran Safiq Rahim yang bijak mencari Safawi namun Safawi sekali lagi gagal memanfaatkan peluang terhidang itu.

Sebelum babak pertama tamat, skuad Badak sekali lagi melancarkan serangan ke arah kubu JDT hampir mencipta gol menerusi percubaan Levy Madinda namun rembatan hanya menerjah jaring luar gol.

Bersambung babak kedua, pasukan kendalian Benjamin Mora terus bernafsu untuk mencari gol bagi meletakkan pasukan di kedudukan yang lebih selesa.

Peluang terbaik untuk menambah gol hadir pada minit ke-55 namun Bergson yang mempunyai pilihan untuk mencipta umpanan gol buat Safiq bertindak tamak melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang sedikit tersasar.

Akhyar Rashid yang dibawa masuk pada babak kedua hampir memahatkan nama dalam senarai penjaring namun rembatannya dari jarak dekat tidak tepat ke arah gol.

Hasrat Bergson untuk mencari hatrik pada perlawanan itu tidak kesampaian apabila percubaan demi percubaan yang dilakukan tidak berjaya menemui gawang lawan.- K! ONLINE


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top