IPOH: Pengerusi Umno Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Saarani Mohamad mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Istana Iskandariah.
Sultan Nazrin memberi perkenan perkara itu selaras Fasal (1) Perkara XII dan perenggan (a) Fasal 2, Perkara XVI, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.
Majlis berlangsung di Balai Istiadat Kecil Istana Iskandariah yang turut dihadiri Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Selepas membacakan ikrar sumpah jawatan, Saarani kemudian menandatangani watikah pelantikan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Hisham Hashim.
Antara pemimpin politik yang hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Mohammad Zahir Abdul Khalid, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.
Upacara itu diikuti bacaan doa dipimpin Imam Utama Masjid Ubudiah, Badrul Husaini Baharuddin.
Saarani dipilih menggantikan Ahmad Faizal Azumu yang meletak jawatan bersama seluruh barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pada 5 Disember, sehari selepas gagal mendapat sokongan menerusi usul undi percaya ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Pelantikan Saarani mengisi senarai menteri besar Perak bersama 11 yang lain iaitu Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz (1948-1957), Mohamed Ghazali Jawi (1957-1960), Shaari Shafie (1960-1964) dan Ahmad Said (1964-1970).
Kamaruddin Mohd Isa (1970-1974), sebelum Mohamed Ghazali sekali lagi dilantik selama empat tahun dari 1974 hingga 1977, Wan Mohamed Wan Teh (1977-1983), Ramli Ngah Talib (1983-1999), Mohd Tajol Rosli Mohd Ghazali (1999-2008), Mohammad Nizar Jamaluddin (2008-2009) dan Zambry Abdul Kadir (2009-2018).
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, Faizal yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak dilantik menteri besar Perak ke-12 sebelum meletak jawatan pada 9 Mac lalu susulan penjajaran politik.
Beliau kemudian dilantik semula sebagai menteri besar Perak ke-13 dengan memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sekali lagi meletak jawatan pada 5 Disember lalu.