RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 Diterima Dan Bakal Dibentang, Dibahas

azalina.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR; Akta Pemecatan Ahli Dewan Rakyat 2021 yang diusulkan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said telah diterima Dewan Rakyat untuk dibentang dan dibahas pada sesi persidangan akan datang.

Azalina yang juga Ketua Pasukan Khas Demokrasi dan Perundangan Barisan Nasional (BN) menaruh harapan besar agar usul ini mendapat persetujuan daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk dibentang dan dibahas.

Beliau juga memohon jasa baik Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk membawa ke depan (fasttrack) seperti mana yang dilakukan untuk RUU 355 pada 2015.

“Semalam bertarikh 1 September 2021 saya telah menghantar suatu notis usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk Rang Undang-undang (RUU) Ahli yang bukan ahli kerajaan.

“Usul RUU yang dicadangkan bertajuk “Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021”. Usul ini adalah selari dengan inisiatif ‘Anti Lompat Parti’ yang kerajaan sedang usahakan dan secara tidak langsung mewujudkan kebersamaan dengan Kerajaan dalam semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang turut merangkumi kerjasama merentas parti.

“Saya berharap usul ini menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan mekanisme pemecatan wakil rakyat atau “Recall” sebagai kaedah anti-lompat di dalam sidang Parlimen September 2021 ini,” kata Azalina.

Menurut beliau, RUU ini juga akan memberikan kuasa semak dan imbang kepada rakyat terhadap wakil rakyatnya.

“Saya juga akan menulis surat kepada semua Ahli Parlimen untuk menerangkan kepentingan dan kelebihan RUU ini dalam memastikan sistem pilihan raya yang lebih adil dan berintegriti terhadap mandat rakyat.

“Semoga agenda reformasi parlimen untuk mewujudkan kestabilan politik dan pentadbiran yang telus akan menjamin kebajikan rakyat dan masa depan negara,” tegasnya. – SUARA TV

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top