RUU Berkaitan Pindaan MA63 Tetap Dibentang 26 Okt

Wan-Junaidi.jpg
Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Cadangan pindaan perlembagaan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetap akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Okt ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menjelaskan kekeliruan yang timbul, menteri undang-undang itu berkata apa yang ditangguhkan ialah bacaan kedua mengenai rang undang-undang (RUU) itu. Sepatutnya bacaan kedua dibuat pada 28 Okt.

Jaminan daripada Wan Junaidi itu dibuat selepas beberapa ahli parlimen dari Warisan dan DAP membangkitkan isu tiadanya RUU tersebut dalam kertas aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Kerajaan akan meneruskan rancangan untuk membentangkan RUU mengenai pindaan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 di parlimen pada 26 Okt ini […]

“Bagaimanapun bacaan kedua mengenai RUU itu akan dijadual semula daripada tarikh awal iaitu pada 28 Okt untuk membolehkan Peguam Negara (Idrus Harun) memberikan penjelasan lanjut mengenai cadangan pindaan tersebut kepada anggota kabinet,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah ahli parlimen Santubong itu lagi kabinet “pada dasarnya” bersetuju dengan RUU tersebut selepas ia dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri yang diadakan pada 20 Okt lalu.

Apabila semua anggota kabinet “berpuas hati sepenuhnya” dengan penjelasan peguam negara, kata Wan Junaidi, tarikh RUU itu dibentang untuk bacaan kali kedua akan ditetapkan.

“Untuk menjawab pertanyaan mereka, kabinet telah bersetuju untuk meminta peguam negara menghadiri mesyuarat kabinet yang akan datang pada Jumaat, 29 Okt untuk menjelaskan pindaan itu.

“Apabila kabinet berpuas hati sepenuhnya dengan penjelasan itu, barulah kita boleh menetapkan tarikh baru untuk bacaan kali kedua RUU itu di parlimen,” katanya.

Wan Junaidi juga menyenaraikan pindaan perlembagaan yang akan dibuat dalam RUU MA63 pada Selasa depan.

Misalnya meminda Perkara 1 (2) untuk mentakrifkan semula “negeri-negeri persekutuan” sebagai negeri-negeri Malaya (Semenanjung Malaysia) dan negeri-negeri Borneo (Sabah dan Sarawak).

Ia juga akan berusaha untuk meminda Perkara 160 (2) untuk memasukkan Hari Malaysia sebagai 16 September 1963 dan mentakrifkan semula “Persekutuan”.

Katanya RUU itu mahu meminda Perkara 161A untuk mentakrifkan semula “bumiputera” Sarawak dan membolehkan individu diberi status itu jika ibu atau bapa mereka adalah orang asal Sarawak.

Pindaan berkenaan juga akan memberi Sarawak kuasa untuk memutuskan kaum mana yang dapat diakui sebagai bumiputera.

Pada April 2019, pentadbiran PH membentang RUU tersebut dan mencadangkan pindaan perlembagaan namun gagal mendapat sokongan secukupnya daripada ahli parlimen pembangkang.

Untuk rekod bagi meminda sesuatu perkara dalam perlembagaan, ia memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua per tiga daripada keseluruhan anggota Dewan Rakyat.

Usul dibawa PH itu gagal melepasi syarat tersebut apabila 59 anggota parlimen berkecuali.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top