RUU Berkaitan MA63: Penangguhan Bagi Pastikan Pindaan Bukan Sekadar Kosmetik – Dr Jeffrey

MA63.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah AIRKU (STAR) mengalu-alukan keputusan menangguhkan pembentangan RUU bagi meminda Perkara 1(2) dan 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan di sini pada Selasa, Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan Negeri-Negeri Borneo merupakan isu yang kompleks dan kontroversi.

“Justeru, lebih banyak masa diperlukan untuk memastikan pindaan itu dikendalikan dengan teliti.

“Kita tidak mahu berakhir dengan hanya pindaan kosmetik. Pindaan yang dicadangkan itu seharusnya menghasilkan pengukuhan Persekutuan dan definisi yang jelas mengenai perkongsian sama rata antara tiga entiti yang membentuk Malaysia,” katanya.

Kitingan, yang juga Ahli Parlimen Keningau, menegaskan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada asasnya adalah pengambilalihan Tanah Melayu terhadap jajahan British di Borneo Utara dan Sarawak.

Beliau menegaskan bahawa perjanjian antarabangsa yang diatur oleh Kerajaan British dan Malaya tidak mencerminkan aspirasi rakyat Sabah kerana ia ditandatangani pada 9 Julai 1963 sebelum proses pembentukan Malaysia selesai, yang hanya berlaku pada 16 September 1963.

“Sebab itu saya mencadangkan untuk bergerak ke hadapan mengikut Proklamasi Malaysia pada 16 September 1963 yang mengambil kira kemerdekaan dan tadbir urus sendiri Sabah,” jelasnya.

Sementara itu, Kitingan mengecam artikel yang diterbitkan portal dalam talian yang menyatakan secara salah bahawa pindaan itu bertujuan untuk memberikan status yang sama kepada Sabah dan Sarawak dengan ‘negeri-negeri di Tanah Melayu’.

Beliau berkata mentaliti dan idea sebegini yang perlu ditangani dan beliau berharap pindaan yang dicadangkan itu akan menunjukkan dengan jelas status sama Negeri-Negeri Borneo, bukan dengan ‘negeri-negeri di Tanah Melayu’, tetapi dengan Persekutuan Tanah Melayu seperti dalam Proklamasi. Malaysia dan perenggan 10 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top