RUU Beri Autonomi Perbekalan Elektrik Sabah Diluluskan

pemcawang-elektrik.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2022 dan RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2022 bagi membolehkan proses dan urusan penyerahan kuasa autonomi pembekalan elektrik kepada kerajaan Sabah.

RUU Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2022 (Akta 725), bagi meminda Fasal Pertama iaitu pindaan kepada tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa.

Fasal Kedua pula bertujuan untuk meminda Seksyen 1 Akta 725 dengan memasukkan subseksyen baharu iaitu subseksyen (3) bagi memberi kuasa kepada menteri untuk menggantung kuat kuasa keseluruhan atau mana-mana peruntukan Akta 725 di bahagian yang berlainan di Malaysia.

Fasal 2 pula bertujuan meminda Seksyen 1 Akta 726 dengan memasukkan subseksyen baharu iaitu subseksyen (3) bagi memberi kuasa kepada menteri untuk menggantung kuat kuasa keseluruhan atau mana-mana peruntukan Akta 725 di bahagian yang berlainan di Malaysia.

Ketika membentangkan bacaan kedua RUU terbabit, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pindaan terbabit selaras dengan komitmen kerajaan untuk menyemak semula pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan hak serta kuasa autonomi yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan kepada Sabah serta Sarawak.

Katanya, ia kerana kuasa pembekalan elektrik ketika ini di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan yang mana dalam hal itu, pembekalan elektrik di Sabah membabitkan pelaksanaan mekanisme Tarif Galakan (FiT) yang dikawal selia oleh Akta Tenaga Boleh Baharu 2011.

“Penyerahan kuasa pembekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah ini akan memerlukan akta-akta berkaitan pembekalan elektrik dan kawal selia digantung pemakaiannya di negeri Sabah melalui suatu perintah oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam konteks penyerahan kuasa pembekalan elektrik kepada kerajaan Sabah ini, Perintah 95C adalah bertujuan bagi memberi kuasa kepada badan perundangan negeri Sabah untuk mewujudkan kuasa undang-undangnya sendiri berkaitan pembekalan elektrik di negeri berkenaan,” katanya.

Takiyuddin berkata, Akta 726 pula tidak mengandungi peruntukan yang membolehkan pemakaian akta terbabit digantung di mana-mana bahagian di Malaysia.

Justeru, pindaan perlu dilakukan bagi memasukkan peruntukan terbabit supaya proses dan urusan penyerahan kuasa autonomi pembekalan elektrik kepada kerajaan Sabah, termasuk fungsi kawal selia terhadap perkara berkaitan tenaga lestari khususnya mekanisme FiT boleh dilaksanakan.

“Dengan wujud klausa penggantungan ini, menteri boleh melalui perintah yang disiarkan dalam warta, menggantung penguatkuasaan Akta 726 supaya kuasa kawal selia pembangunan TBB (tenaga boleh baharu) termasuk pelaksanaan mekanisme FiT boleh diambil alih oleh kerajaan Sabah.

“Saya difahamkan bahawa kerajaan Sabah sudah menubuhkan Unit Tenaga Negeri Sabah di bawah Jabatan Ketua Menteri untuk melaksanakan tugas perancangan dan kawal selia pembangunan TBB sekiranya proses penyerahan kuasa pembekalan elektrik dilakukan,” katanya. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top