RUU Antilompat Beri ‘Terlalu Banyak Kuasa’ Kepada Ketua Parti – Maria Chin

maria-chin.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti mesti mengambil kira keadaan di mana seorang wakil rakyat boleh dianggap melanggar undang-undang, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Maria berkata, menurut kefahamannya rang undang-undang itu menghukum individu yang keluar parti serta mereka yang dipecat oleh parti

“Ia akan dianggap sebagai memberi terlalu banyak kuasa kepada politik kepartian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata seorang Ahli Parlimen mungkin dipecat kerana dia mengambil berpegang kepada prinsip, contohnya mengundi menentang rang undang-undang atau bersuara jika parti tersebut telah melanggar manifestonya.

Di bawah undang-undang anti lompat yang dicadangkan, individu berkenaan perlu mengosongkan kerusinya dan pemilihan semula akan dilakukan.

Jika itu berlaku, kata Maria, ia akan memberi terlalu banyak kuasa kepada pemimpin parti politik dan tidak menggalakkan wakil rakyat untuk berfikir serta berkhidmat secara bebas.

“Ini adalah isu yang perlu dibahaskan. Namun begitu, saya menyokong rang undang-undang anti lompat parti ini walaupun ada kelemahannya.

“Sudah tiba masanya untuk kita menghukum wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab yang berfikir mereka boleh beralih kesetiaan untuk mendapatkan ganjaran dan pangkat,” katanya.

Tiga hari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pembentangan RUU Anti Lompat Parti telah ditangguhkan semula kerana Kabinet tidak bersetuju untuk membentangkannya pada 11 April.

Dilaporkan bahawa kerajaan mahu menyelesaikan perkara-perkara penting seperti definisi lompat parti dan juga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan sebelum membentangkan rang undang-undang itu.

Wan Junaidi berkata sidang khas Dewan Rakyat pada 11 April akan diteruskan dengan pembentangan pindaan perlembagaan bagi memudahkan pembentangan rang undang-undang anti-lompat itu sendiri.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top