TAWAU: Zon Maritim Tawau menahan dua bot penumpang tempatan kerana membawa muatan tanpa permit dalam dua tangkapan berasingan kelmarin.
Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, terdahulu kapal peronda Maritim Malaysia ketika dalam OP PLUTO TIMUR 2/2023 dan OP TIRIS mengesan dan memintas sebuah bot penumpang yang bergerak dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik pada jam 10.10 malam kelmarin.
Pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 1.1 batu nautika timur laut Tanjung Saima itu mendapati, seorang lelaki warga tempatan berumur 47 tahun bertindak selaku juragan bot.
Pemeriksaan selanjutnya mendapati bot itu membawa muatan empat gelen minyak petrol dengan anggaran 140 liter dan dua tong gas LPG tanpa memiliki sebarang permit yang sah.
Kira-kira sejam selepas penahanan bot itu, sebuah lagi bot penumpang tempatan turut ditahan dan diperiksa oleh aset Maritim Malaysia yang sama di lokasi 1.24 batu nautika timur laut Tanjung Saima.
Pemeriksaan ke atas bot penumpang itu mendapati seorang juragan lelaki warga tempatan berumur 23 tahun juga membawa muatan lima gelen minyak petrol anggaran 175 liter tanpa sebarang permit dan melanggar syarat sah lesen.
Kedua-dua bot bersama muatan serta juragan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasat di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.
Kesemua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM52,000.
Shahrizan berkata, pihaknya tidak menolak wujudnya ‘runner minyak’ yang menjalankan aktiviti membawa barang kawalan ini dalam kuantiti kecil namun secara berulang bagi menembusi pasaran di negara jiran.
Sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.
Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia