PENAMPANG: Suasana rumah-rumah tradisi di Hongkod Koisaan, KDCA kembali meriah dengan pelbagai persembahan kebudayaan.
Perayaan Pesta Kaamatan secara fizikal yang kembali diadakan selepas dua tahun membolehkan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) setiap daerah membanjiri pekarangan Hongkod Koisaan pada tahun ini.
Bagi Timbalan Ketua KDCA Kuala Penyu, Bius Ariffin berkata, biarpun sambutan secara fizikal kembali diadakan namun, kedatangan pengunjung masih tidak seramai sebelum pandemik Covid-19 melanda.
“Kali ini, tidak ramai pelancong asing yang boleh dilihat. Pengunjung tempatan juga tidak ramai seperti sebelum ini, mungkin orang masih takut untuk berada di kawasan yang sesak,” katanya ketika ditemui.
Walau bagaimanapun, persembahan kebudayaan masih lagi dilakukan di Rumah Kebudayaan Dusun Tatana bagi memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini.
Antara persembahan kebudayaan yang diadakan termasuk Sumayau Kadayan, Kalam Bujang, Joget Bukau dan Bakanjar. Itu antara persembahan tradisi suku kaum Dusun Tatana.
Selain persembahan, mereka turut menghidangkan makanan tradisi Dusun Tatana seperti Kolupis dan Tapai.
Rumah Kebudayaan Dusun Tatana antara tumpuan orang ramai untuk bergambar bersama penari yang mengenakan baju tradisi Dambai bagi lelaki.
Sementara itu, di Rumah Kebudayaan Dusun Liwan, Ranau turut menampilkan persembahan kebudayaan daripada kumpulan Buluh Perindu.
Ahli Jawatankuasa KDCA Ranau, Ronny Lazarus berkata, biarpun masih berada dalam keadaan pandemik, masyarakat di negeri ini tetap hadir memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan yang diadakan semula pada tahun ini.
Selepas dua tahun, KDCA sunyi tanpa acara sambutan kini, kemeriahan Pesta Kaamatan itu kembali dirasai.
Perayaan sebegini membolehkan kebudayaan masyarakat tempatan dipersembahkan kepada pengunjung termasuk pelancong asing.
“Melalui persembahan kebudayaan sebegini, kita dapat memperkenalkan adat dan budaya masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) kepada orang luar,” katanya.
Antara kelainan pada sambutan kali ini, gerai-gerai jualan tidak dibenarkan berada di ruangan kaki lima bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – Borneo Today