KOTA KINABALU: Rumah Ronald McDonald keempat di negara ini dijangka dibuka di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), di sini, tahun hadapan.
Kemudahan penginapan sementara itu adalah sebuah fasiliti untuk keluarga berpendapatan rendah dengan kos penginapan berpatutan bagi membolehkan mereka menginap berdekatan dengan anak yang sedang menerima rawatan di hospital terbabit.
Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, penginapan sementara bernilai kira-kira RM3 juta itu masih dalam proses perancangan, namun pelan sudah disiapkan.
Menurutnya, pihaknya ketika ini hanya menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri.
“Pembinaan akan bermula sekitar Oktober sehingga November tahun ini dan rumah berkenaan dijangka siap pada Mac atau April tahun hadapan jika tiada halangan.
“Pihak kita cuma meminta keluarga membayar sebanyak RM5 untuk penginapan satu malam dan jika mereka tidak mampu, pihak hospital akan menaja keluarga terbabit terutama keluarga kurang bernasib baik serta datang dari jauh.
“Pemilihan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah kerana ia mempunyai ramai pesakit kanak-kanak. Hospital ini adalah wad (untuk kanak-kanak) yang terbesar di Sabah dan mempunyai banyak keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bertempat di HWKKS, di sini, semalam.
Majlis berkenaan disaksikan Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin.
Sementara itu, Aaron berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini menerima permohonan daripada RMHC bagi penubuhan penginapan sementara dan balai pelawat HWKKS bakal dinaik taraf.
Menurutnya, balai pelawat berkenaan dapat memuatkan 26 katil berkonsepkan asrama, namun RMHC Malaysia akan menaik taraf dengan menambah sebanyak 16 katil lagi.
“Diharapkan apabila kerja menaik taraf balai pelawat ini selesai dapat membantu menyediakan penginapan sementara lebih selesa kepada lebih ramai keluarga,” katanya.
Sebanyak tiga Rumah Ronald McDonald beroperasi ketika ini iaitu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), Cheras; Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.