KOTA BELUD: Pembukaan rumah penyembelihan baharu bernilai RM1.35 juta di Kota Belud semalam dianggap penting bagi industri daging dan ternakan Sabah.
Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata penyiapan projek jutaan ringgit itu juga merupakan petanda baik kerana ia bertepatan dengan sambutan ulang tahun yang pertama inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Pusat penyembelihan ini sangat penting untuk industri daging dan ternakan. Rumah penyembelihan daerah ini yang sebelum ini rosak teruk akibat banjir tahun 2015.
“Sejak itu, kerajaan telah mengusahakan rumah penyembelihan moden baharu ini untuk memenuhi permintaan industri,” katanya.
Menurut beliau, lokasi rumah penyembelihan yang baru dibina terletak di kawasan yang lebih tinggi dan jauh dari sungai.
“Kementerian juga mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan pencemaran air. Justeru, rumah penyembelihan ini dibina mengikut spesifikasi terkini bagi mengelak air sisa rumah penyembelihan meresap ke dalam air bawah tanah,” katanya.
Jeffrey menambah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sedang bersiap sedia untuk membina dua lagi rumah penyembelihan, kedua-duanya di Keningau pada akhir tahun ini yang dijangka siap tahun depan.
Menurutnya, pada tahun lalu, perkhidmatan rumah penyembelihan membawa hasil lebih RM700,000 kepada kerajaan.