Rumah Panjang Kg. Lajong Juara Pertandingan Kebersihan Dan Keceriaan

rumah-panjang-bersih.jpg
Kongsi Bersama

KUDAT: Kampung Lajong dinobatkan juara dalam pertandingan kebersihan dan keceriaan rumah panjang di Matunggong.

Dengan kemenangan itu Kampung Lajong membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,300 yang disampai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong Datuk Julita Majungki.

Anita berkata, selain hadiah wang tunai itu, dana khas sebanyak RM20,000 turut diberikan kepada Kampung Lajong bagi projek pembangunan untuk meneruskan dan memperkasakan lagi usaha penghuni menceriakan serta menjaga kebersihan kawasan rumah panjang.

“Tempat kedua dan ketiga iaitu rumah panjang Kampung Toporoi dan Kampung Barangkason masing-masing menerima RM1,000 beserta dana RM15,000 dan RM700 beserta dana RM10,000 untuk tujuan sama,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah berlangsung di Mini Dewan Pejabat Daerah Kecil Matunggong di sini.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Daerah Willey Lampaki, Pegawai Pemimpin Masyarakat Marius Masain dan wakil dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Duanis Utun yg menjadi sebahagian daripada jawatankuasa pemantau dan juri pertandingan bersama Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat dan Pejabat Kecil Daerah Matunggong.

Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat  dan Kesejahteraan Rakyat berkata pertandingan yang bermula pada 11 November lalu ini melibatkan 26 kampung.

“Hadiah lumayan ini adalah sebagai insentif kepada usaha para penghuni ke arah mewujudkan kampung yang cantik, bersih dan lebih terancang.

“Ini termasuk melaksanakan kempen kitar semula dan mewujudkan pusat pelupusan sampah,” katanya.

Mengulas lanjut Julita berkata program ini akan diteruskan untuk memupuk gaya dan cara hidup sihat dalam persekitaran yang lebih terpelihara.

“Selain pertandingan kategori rumah panjang, pertandingan kebersihan dan keceriaan kampung selebihnya akan dilancarkan dalam tempoh terdekat untuk tujuan dan sasaran yang sama,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top