Rumah Mesra SMJ Bernilai RM70,000 Diberi Percuma Kepada Rakyat Memerlukan – Hajiji

hajiji-5.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Sebanyak 1,500 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bernilai kira-kira RM70,000 setiap satu akan diberikan secara percuma kepada rakyat Sabah yang memerlukan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata kerajaan negeri akan menggunakan Geran Khas untuk Sabah sebanyak RM125.6 juta disalurkan kerajaan Persekutuan, bagi membina Rumah Mesra SMJ itu yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin atau PPRT di negeri itu.

Katanya, rumah itu akan dibina di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan pegawai terlibat seperti pegawai daerah, presiden majlis perbandaran dan mayor majlis bandar raya akan diminta mengenal pasti mereka yang benar-benar layak untuk menerima bantuan Rumah Mesra SMJ.

“Peruntukan ini (Geran Khas untuk Sabah) kita kena bagi balik kepada rakyat terutama yang kurang berkemampuan, tidak punya rumah selesa jadi kita putuskan untuk bina Rumah Mesra SMJ. Setiap tahun kerajaan Persekutuan ada beri untuk bina rumah PPRT, peruntukan itu juga kita bina Rumah Mesra SMJ.

“Kita mahu membantu mereka yang susah, tidak mempunyai rumah atau ada rumah daif supaya mereka dapat merasai nikmat hidup lebih selesa…spesifikasinya mungkin kita ubah sikit daripada rumah PPRT sekarang untuk beri lebih keselesaan kepada rakyat,” katanya di Kampung Serusop sini semalam.

Hajiji berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan Ramadan dan Aidilfitri kepada 180 penerima memerlukan berupa barangan harian serta wang tunai, dan sumbangan kurma kepada 28 masjid dan 25 surau di negeri ini.

Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Hajiji dalam satu kenyataan bersama menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menaikkan Geran Khas untuk Sabah 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 bermula tahun ini. – BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top