Rujuk Pakar Perlembagaan Supaya Nampak Lebih Cerdik Hal Undang-Undang, Kata Annuar Kepada Ahmad Maslan

annuar-ahmad-maslan.jpg
Kongsi Bersama

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, mendedahkan suratnya kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang membantah gesaan  Setiausaha Agung UMNO itu supaya Ahli Parlimen Umno bersetuju memanggil sidang Parlimen bagi membincangkan ordinan darurat, mengikut Perkara 150 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan (PP).

Dalam suratnya yang didedahkan di media sosial, Menteri Wilayah Persekutuan itu  mahu Ahmad menarik balik suratnya kepada wakil-wakil rakyat Umno itu dengan mengatakan surat itu suatu “kesilapan besar” dalam mentafsirkan fasal itu.

Katanya, Perkara 150 Fasal (3) PP bermaksud untuk memaklumkan kepada Parlimen tentang pengisytiharan dan ordinan yang dibuat bagi tujuan pengisytiharan darurat, dan pengisytiharan perlu dibentang setelah Parlimen bersidang.

“(Perkara itu) tidak menyatakan atau tidak bermaksud mensyaratkan Parlimen bersidang secepat mungkin atau mewajibkan Parlimen bersedang serta-merta selepas proklamasi darurat dibuat,” kata Annuar.

Bagi maksud Perkara 150 Fasal (3) PP itu, Parlimen bersidang untuk merungkai pengisytiharan darurat yang telah dibuat atau ordinan yang dibuat semasa darurat “sekiranya proklamasi dan ordinan tersebut tidak dibatalkan terlebih dahulu”.

Annuar beritahu Ahmad bahawa Parlimen tidak lagi bersidang setelah pengisytiharan dibuat, mengatakan Parlimen hanya boleh bersidang selepas tamat tempoh darurat.

“Setelah dimasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa) Perlu 2021 yang menangguhkan persidangan Parlimen, maka ordinan ini terpakai dan menjadi undang-undang yang mengikat.”

Sementara itu, Annuar juga berkata tindakan Ahmad ini tidak pernah dibincang atau diputuskan oleh Umno, mendakwa ia bercanggah dengan kenyataan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya lagi, surat Ahmad itu juga boleh ditafsirkan sebagai “percubaan menderhaka kepada Agong”.

Di Twitter, Annuar menulis Ahmad memberi masa kurang daripada 24 jam kepada Ahli Parlimen Umno supaya menyatakan persetujuan untuk memanggil sidang Parlimen.

“Elok SUA Umno rujuk pakar perlembagaan supaya kelihatan lebih cerdik hal undang-undang,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top