Rosnah Cadang Kerajaan Beri Rebat Bil Elektrik Dan Air

rosnah.jpg
Kongsi Bersama

PAPAR: Bekas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin  mencadangkan kepada kerajaan supaya memberikan rebat ke atas bil air dan letrik kepada pelanggan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ‘total lockdown’ yang bermula 1 Jun sebagai usaha meringankan beban rakyat.

Jelas Rosnah, memandangkan rakyat perlu kekal berada dalam rumah sepanjang PKP ‘total lockdown’, kerajaan negeri wajar memberikan rebat sebanyak 10 peratus daripada jumlah bil air dan letrik kepada pengguna di negeri ini.

Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja mampu meringankan beban rakyat malah turut memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang dihimpit dengan tekanan ekonomi yang meruncing akibat pandemik COVID-19.

Tambah beliau, sekiranya kerajaan mempunyai keupayaan, rebat tersebut boleh dipanjangkan lagi sehingga tempoh enam bulan selepas PKP ‘total lockdown’ sebagai usaha membantu rakyat yang terjejas pendapatan ekoran pelaksanaan itu.

Dalam pada itu, Rosnah yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia turut menyarankan kerajaan supaya menyediakan pakej-pakej bantuan dengan segera khusus untuk golongan B40 yang terjejas dengan pelaksanaan PKP secara penuh itu.

Jelas beliau, bantuan-bantuan yang dirancang itu perlu mampu membantu rakyat sepanjang tempoh pelaksanaan PKP dan yang penting rakyat tidak perlu melalui proses serta karenah birokrasi yang melampau untuk mendapatkan bantuan.

Jumaat lepas, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun depan.

Berikutan itu, Kerajaan Negeri Sabah turut mengeluarkan kenyataan pada hari yang sama bagi melaksanakan ‘total lockdown’ selama dua minggu mulai 1 Jun sehingga 14 Jun 2021 bagi membendung peningkatan jangkitan COVID-19 di negeri ini.

Rosnah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Papar menyambut baik tindakan kerajaan melaksanakan PKP secara penuh itu.

“Keputusan kerajaan untuk melaksanakan PKP secara penuh atau ‘lock down’ bermula 1 Jun depan adalah keputusan yang paling tepat dalam usaha mengurangkan penularan jangkitan COVID-19 di seluruh negara, ” katanya. – Utusan Borneo

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top