KOTA KINABALU: Superintendan Rosdi Mat Jusoh dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah berkuatkuasa semalam.
Rosdi yang juga bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima pelantikan terbabit dalam satu majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini.
Pertukaran jawatan dilaksanakan bersama Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Nin Mohd Isa sebagai Ketua JSPT sebelum ini dan akan bertugas sebagai Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perak bermula pada 28 Disember tahun lalu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun yang menyaksikan majlis terbabit berkata beliau yakin dan percaya Mohd Zamzuri akan berjaya mengorak langkah ke arah kecemerlangan perkhidmatan dan seterusnya mencapai visi dan misi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Mohd Zamzuri sudah menjawat jawatan KJSPT Sabah lebih lima tahun dan secara peribadi, saya amat kagum dengan prinsip, kesungguhan dan komitmen yang dicurahkan dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab sepanjang memegang jawatan KJSPT Sabah yang lalu.
“Seluruh warga PDRM Sabah merakamkan ucapan terima kasih dengan jasa dan pengorbanan beliau dalam menjalankan amanah yang diberikan sepanjang berada di negeri ini,” katanya.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Rosdi atas kenaikan pangkat yang kini mengambil tampuk pimpinan sebagai KJSPT Sabah.
“Berdasarkan rekod perkhidmatan beliau menunjukkan hampir keseluruhan masa perkhidmatannya iaitu 23 tahun berada dalam Jabatan Siasatan Jenayah.
“Walaupun berbeza dari segi penguatkuasaan dan siasatan namun saya yakin ianya bakal memberi satu impak yang besar dalam meneruskan legasi dan memperkasakan lagi JSPT Sabah ini,” katanya.-Utusan Borneo