Rosario Bianis sertai Gagasan Rakyat Tambunan

sertai-GRS.jpg

Rosario (tiga kanan) menyerahkan borang keahlian kepada Mohd. Yassin sambil disaksikan Amelia (dua kanan) serta pemimpin parti yang lain.

Kongsi Bersama

TAMBUNAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sekali lagi menjadi platform politik pilihan artis ternama untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Kali ini giliran juara ASEAN Song Contest 2019 Rosario Bianis menyerahkan borang keahliannya bagi menganggotai parti itu.

Rosario menyerahkan borang itu kepada Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Mohd. Yassin Yunus, yang mewakili Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan, Datuk Victor P. Paut, dalam satu majlis yang diadakan di pejabat Gagasan Rakyat Tambunan.

Turut hadir Ketua Wanita Gagasan Rakyat Tambunan, Datuk Hajah Amelia Anjun.

Rosario berkata, Gagasan Rakyat Tambunan yang diterajui Victor menawarkan ruang dan kedudukan untuk berkongsi aspirasinya dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat khususnya golongan belia.

Dia yang juga juara Bintang RTM 2016 menjelaskan, nilai perjuangan dan semangat Victor sebagai pemimpin juga banyak mendorong beliau memilih untuk menyertai Gagasan Rakyat.

“Sebenarnya, saya telah lama mengenali beliau dan pernah dijemput menghadiri majlis keramaian di kediamannya bagi mempersembahkan beberapa buah lagu.

“Kalau saya masih ingat, majlis itu berlangsung kira-kira lapan tahun lalu dan ketika itu beliau belum bergiat dalam politik.

“Namun demikian, beliau telah memperlihatkan nilai kepimpinan dan berjiwa besar sering menghulurkan bantuan kebajikan kepada masyarakat Tambunan tanpa mengira kedudukan serta latar belakang.

“Nilai yang ada dalam diri Victor itu membuatkan saya tidak berfikir panjang untuk menyertai Gagasan Rakyat,” kata Juara Sugandoi Negeri Sabah 2014 itu.

Anak kelahiran Kampung Sunsuron Tambunan itu berkata, keputusannya menyertai Gagasan Rakyat adalah atas kemahuan sendiri.

Mengulas penyertaan Rosario ke dalam PGRS, Victor berkata, Gagasan Rakyat sentiasa menyokong langkah penggiat seni tanah air menyertai parti itu dan mereka boleh bertindak sebagai duta parti.

Victor turut menghargai Rosario kerana memilih dan menyertai parti itu.

Sebelum ini, artis ternama negeri Sabah, Datuk Francis Landong telah menyertai Gagasan Rakyat Tambunan.

“Pintu Gagasan Rakyat sentiasa terbuka kepada mana-mana golongan profesional yang ingin sama-sama berjuang membela kebajikan bukan sahaja masyarakat Tambunan malah rakyat Sabah secara keseluruhannya,” kata Victor.

 

Sumber: Penerangan Gagasan Rakyat

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top