Ronald sahkan PN akan bertanding pada PRN Sabah ke-17

Ronald-Kiandee.jpg
Kongsi Bersama

PAITAN (BELURAN): Perikatan Nasional (PN) akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, kata Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee .

Jelasnya, pihaknya meletakkan keyakinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PN akan memberi suatu impak politik dalam PRN Sabah kelak menerusi kerusi yang bakal ditandingi.

“Ketika ini kita juga sedang menilai kekuatan parti di semua peringkat dan kawasan pilihan raya sebelum menetapkan berapa banyak kerusi yang bakal kita tandingi dalam PRN ini,” tambahnya.

Beliau berkata BERSATU di Sabah juga berjaya dibina semula dengan 22 bahagian di negeri ini kembali aktif meskipun ia dikosongkan sebelum ini yang menyaksikan sebahagian besar pemimpin yang muncul selepas mereka keluar parti itu adalah kalangan anak muda.

Ronald berkata, beliau gembira apabila ramai anak muda itu sudah mula percaya bahawa Sabah perlu dilihat daripada perspektif nasional dan bukan hanya dari sudut naratif politik iaitu Sabah Untuk Rakyat Sabah atau Sabah for Sabahan atau Parti Untuk Sabah (Sabah Based Party).

Beliau melihat naratif itu tiada lain tujuan dicipta melainkan hanya semata-mata untuk politik parti itu sahaja.

Jelasnya, dalam soal ini, beliau juga percaya rakyat sudah bijak serta matang menilai politik Sabah.

Ini kerana, meskipun sebahagian besar parti Sabah membawa naratif itu sejak sekian lama, namun ia tidak dapat dilihat sangat dicerminkan dalam keputusan piihan raya terdahulu, katanya.

Dalam ini, Sabah memerlukan pemimpin yang dapat mengangkat martabat negeri dan membawa isu keperluan setempat ke peringkat nasional dalam mendapatkan penyelesaian terbaik dan tidak hanya mahu membawa naratif politik kenegerian sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, Ronald berkata, masalah seperti jalan raya, air, elektrik dan keperluan Sabah perlu dibawa kepada pihak kementerian di peringkat persekutuan.

“Justeru, adalah jelas bahawa kita perlu mengangkat masalah Sabah ke peringkat nasional sekaligus mengatasi isu itu dari sudut nasional dan ini sangat penting agar apa sahaja keperluan kita di Sabah dapat didengar dengan lebih cepat,” jelasnya.

Untuk rekod Ronald berjaya mengekalkan kerusi Naib Presiden BERSATU dalam keputusan pemilihan parti itu yang diumumkan semalam.

 

Sumber: Jesselton Times

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top