Ronald Rasmi Titian Nelayan Dan Jelajah Nelayan

ronald.jpg

Ronald (dua dari kanan) pada majlis perasmian Titian Nelayan Dan Program Jelajah Nelayan di Kampung Keniogan, Beluran.

Kongsi Bersama

BELURAN: Titian nelayan bernilai RM1 juta di Kampung Keniogan, di sini, yang siap pada 13 Mac lalu telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, pada Ahad.

Majlis perasmian tersebut diadakan seiring dengan Program Jelajah Nelayan Beluran yang turut diadakan di kampung tersebut.

Ronald berkata projek titian konkrit yang mula dibina sejak 4 Mei 2021 itu akan memberikan lebih keselesaan kepada semua penduduk di Kampung Keniogan khususnya golongan nelayan memandangkan keadaan titian lama yang telah usang dan tidak lagi sesuai untuk digunakan.

“MAFI akan terus melihat keperluan kemudahan asas dan infrastruktur lain yang diperlukan oleh kampung-kampung nelayan seluruh negara dan akan membawanya kepada perhatian Kementerian Kewangan untuk permohonan dana-dana tambahan bagi memastikan semua inisiatif yang dilaksanakan oleh LKIM diteruskan.

“Kerajaan melalui LKIM sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta terus memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi dan mengurangkan bebanan nelayan,” kata Ronald.

Selain membangunkan infrastruktur jeti sedia ada, tiga lokasi lain juga telah dibaik pulih sebelum ini iaitu di Jeti Kampung Muanad II, Jeti Kampung Seri Menanti dan Jeti Kampung Keramat. 18 lagi jeti dan titian di sekitar kampung-kampung nelayan di Beluran sedang dalam perancangan LKIM untuk dibaikpulih, dinaiktaraf serta dibina baharu yang akan memberi kemudahan pendaratan ikan yang lebih baik.

Dalam pada itu, Ronald turut meninjau rumah nelayan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Kampung Keniogan, Beluran. Ini adalah sebahagian daripada 200 buah rumah nelayan yang telah dan sedang dibaikpulih oleh LKIM di kawasan Beluran dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Sebelum ini LKIM juga telah membaikpulih 152 rumah nelayan di kawasan Beluran.

Projek PKPN merupakan usaha Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah dengan membaik pulih rumah, membina rumah baharu dan mewujudkan penempatan semula nelayan supaya golongan nelayan menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa.

Kerajaan melalui LKIM telah memperuntukkan lebih RM150 juta pada tahun ini bagi menyediakan bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara yang merangkumi ESHN, Subsidi Minyak Diesel dan Petrol, Dana Nelayan, Tabung Bencana dan Kebajikan Nelayan, Projek Tanaman Kotan, Bantuan Projek Ekonomi Kumpulan Nelayan dan Program Food Basket Nelayan.

Ronald menyampaikan bantuan persekolahan kepada murid-murid SK Keniogan.

Terdapat 582 nelayan aktifdi Kawasan berkenaan telah menerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) dengan kadar bayaran RM300.00 sebulan. ESHN ini telah ditingkatkan oleh Kerajaan bermula Januari 2021, di mana daripada kadar RM250 kepada RM300 sebulan yang telah memberi manfaat kepada 35,000 nelayan laut seluruh negara.

Menurut Dr Ronald, golongan nelayan yang merupakan antara barisan hadapan sektor agromakanan yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan negara.

Tambah beliau lagi, Kerajaan melalui MAFI dan LKIM akan terus memastikan kebajikan semua golongan sasar sentiasa terbela serta memastikan kelangsungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan.

Dalam majlis yang sama, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran turut menyampaikan Bantuan Persekolahan kepada 130 orang murid SK Keniogan yang telah disumbangkan oleh Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) dengan peruntukan sebanyak RM6,500.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top