Rogol Murid 12 Tahun, Bekas Guru Dipenjara 30 Tahun, 2 Sebatan

tukul-mahkamah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang bekas guru diperintahkan menjalani hukuman penjara 30 tahun dan dua sebatan, selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan sabitannya atas dua kesalahan merogol seorang murid berusia 12 tahun di sebuah chalet di Papar kira-kira lapan tahun lalu.

Guru sekolah rendah itu disabitkan bersalah pada 2017 kerana merogol kanak-kanak itu empat kali pada Ogos dan Oktober 2014.

Zalani Amit, 58, diperintahkan menjalani hukuman penjara 15 tahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan, dengan hukuman berkuat kuasa secara berturut-turut.

Kosmo melaporkan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara membuat keputusan itu, selepas membenarkan rayuan akhir lelaki itu terhadap hukuman.

Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuan Zalani terhadap sabitan kerana mendapati sabitan bagi tuduhan ketiga dan keempat selamat dikekalkan, selepas berpuas hati rayuannya tiada merit.

Ketika prosiding dalam talian itu, rayuan silang pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Zalani daripada dua lagi tuduhan merogol mangsa sama turut ditolak panel itu.

Karim ketika membacakan keputusan itu berkata, Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya yang membolehkan panel itu campur tangan dan mengubahnya.

Zalani diwakili peguam Ram Singh dan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top