Rogol Anak Tiri Hingga Hamil, Buruh Dipenjara 15 Tahun, 10 Sebatan

tukul-mahkamah.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku bersalah merogol anak tirinya pada 2021.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 41 tahun yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh ladang itu didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun di sebuah rumah kongsi kira-kira 8 pagi antara 1 hingga 30 Ogos 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang sepuluh tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain kesan trauma dialami mangsa.

Menurutnya, sebagai bapa, tertuduh sewajarnya memberi perlindungan kepada mangsa tanpa mengira sama ada anak kandung atau anak tiri namun tertuduh merogol mangsa sehingga hamil tujuh bulan.

“Pendakwaan juga mengambil kira faktor trauma dialami mangsa, yang mana dalam kes ini, mangsa yang masih muda terpaksa menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal tanpa suami dan anak tanpa ayah.

“Rayuan yang dikemukakan tertuduh sedikit pun tidak menunjukkan perasaan insaf atau menyesal atas perbuatan yang telah dilakukannya,” katanya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dipenjara 15 tahun dan sepuluh sebatan berkuat kuasa daripada tarikh tangkapan iaitu pada 22 September 2022 serta dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Berdasarkan fakta kes, pada 21 September 2022, kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Tawau oleh guru sekolah selepas mengesyaki keadaan perut kanak-kanak itu seperti wanita mengandung.

Hasil pemeriksaan doktor bertugas mengesahkan mangsa hamil tujuh bulan sebelum laporan polis dibuat. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top