KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik meluangkan masa meninjau kemajuan pembinaan Jambatan Konkrit Sungai Pamalan di Kilometer 1.1 Jalan Bingkor Bypass yang merentangi Sungai Pamalan Sasaie, Bingkor.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor memberitahu, dijangka laluan berkenaan akan dibuka pada 26 April ini (Selasa) sekitar jam empat petang, sekiranya tidak ada sebarang halangan.
Jambatan itu mulai dibina pada bulan Julai tahun lalu bagi menggantikan jambatan Bailey yang agak usang dan berbahaya.
Jambatan Bypass laluan sehala ini adalah laluan dekat diantara Keningau dan simpang empat Bingkor-Binaong yang memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 penduduk di 15 kampung sekitar Mukim Bingkor.
Ia turut digunakan oleh warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bingkor; Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor; SK Bunsit; SK Kampung Baru; Klinik Kesihatan Bingkor; Pusat Pelancongan Taman Bandukan; Pejabat Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Bingkor; Pusat Jualan GAS PETRONAS Sandapak Trading dan 15 buah kampung di kawasan Mukim Bingkor dan sekitarnya.
Aliran trafik sedia ada yang melalui jalan itu telah dilencongkan ke jalan utama Keningau-Kota Kinabalu di bulatan simpang Empat Bypass jalan Binaong-Bingkor
“Semoga dengan adanya jambatan ini ianya akan dapat memberi keselesaan kepada pengguna selain dapat menampung jumlah pengguna yang semakin bertambah.
“Jambatan ini juga boleh dilalui secara dua hala berbanding jambatan yang ada sebelum ini, ” kata Robert.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas usaha dan kerjasama yang diberikan sehingga jambatan itu siap.
“Terima kasih kepada pengguna dan juga masyarakat atas kesabaran menunggu sehingga jambatan ini siap,” tambahnya.
Berita asal: Utusan Borneo
Foto: FB Robert Tawik Official