KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Robert Tawik dan ADUN Liawan YB Datuk Annuar Ayub Aman telah mempengerusikan bersama satu taklimat khas mengenai krisis bekalan air di Keningau pada kelmarin.
Pada taklimat itu, perbincangan lebih tertumpu kepada laporan-laporan mengenai gangguan bekalan air di daerah ini selain mengesan setiap kelemahan sistem bekalan yang terganggu, status pengeluaran air semasa, kekangan dan penyelesaian jangka pendek dan panjang serta cadangan penambahbaikan yang perlu dipertimbangkan segera.
Keningau merupakan salah sebuah daerah yang sering menerima gangguan bekalan air bersih di mana terdapat 5 loji rawatan air iaitu di Bunsit, Bingkor, Agudon, Kg Keningau dan Apin-Apin dengan Rumah Pam pula adalah sebanyak 12 buah.
Taklimat itu juga mendedahkan bahawa penyelesaian jangka pendek sudah dibuat dengan penghantaran bekalan ke lokasi-lokasi mendesak selain membaiki kerosakan pada pam air, meningkatkan kapasiti pengeluaran secara maksimum, catuan (kawalan agihan) dan pembukaan Depoh Pengambilan air di Loji Rawatan Air Agudon.
“Kita akan terus memantau isu ini sehingga ianya dapat dipulihkan sebaik mungkin dan kementerian melalui Jabatan Bekaln Air di Keningau sedang berusaha keras bagi memastikan bekalan pulih sepenuhnya,” jelas Robert yang juga merupakan ADUN Bingkor. – SABAHitz On9 TV