KENINGAU: Sesetengah pemimpin masyarakat yang secara terang-terangan membidas kerajaan dinasihat agar berfikir dulu sebelum membuat sebarang tindakan atau komentar kerana ia boleh mendatangkan persepsi yang tidak baik kepada umum.
Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Robert Tawik berkata apa yang dilakukan atau dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk kebaikan dan pembangunan rakyat di Sabah.
Menurut beliau, terdapat sesetengah pemimpin masyarakat khususnya pengerusi-pengerusi JPKK, malah ada juga pemegang-pemegang adat yang secara terang-terangan membidas apa yang kerajaan lakukan walaupun perkara itu mempunyai kebaikan kepada rakyat dan pembangunan Sabah.
“Sebagai pemimpin yang menjadi sebahagian daripada jentera kerajaan, sepatutnya mereka mempertahankan dasar-dasar yang telah digubal oleh kerajaan GRS-BN yang begitu bersungguh-sungguh dan komited untuk membangunkan Sabah,” katanya ketika berucap di Majlis Kepimpinan Mengenai Isu-Isu Semasa Bersama YB Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan di Keningau hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan GRS-BN sentiasa menitikberatkan kebajikan, kesihatan, keselamatan dan pendidikan untuk rakyat secara keseluruhannya.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Flovia Ng, ADUN Liawan Datuk Annuar Ayub Aman dan kalangan Ketua Adat serta pemimpin masyarakat yang lain. – Sabahitz On9 TV