KOTA KINABALU: Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) STAR, Datuk Robert Tawik, disahkan positif Covid-19.
Setiausaha agung parti, Datuk Guan Dee Koh Hoi berkata, ADUN Bingkor itu dimasukkan ke hospital daerah Keningau semalam.
“Beliau didapati positif Covid-19 pada Jumaat dan terus dimasukkan ke hospital. Keadaannya baik dan ceria,” kata Kohoi ketika dihubungi.
Timbalan Ketua Menteri dan Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan sebelum ini disahkan positif virus itu.
Menurut setiausaha politiknya Arlinsia Agang, Jeffrey dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth dan dilaporkan stabil.
Sementara itu, Guan Dee berkata Jeffrey, yang juga ADUN Tambunan dijangka boleh pulang dari hospital awal minggu depan.
Sabah merekodkan lonjakan jangkitan sejak tahun baharu selepas trend menunjukkan penurunan pada lewat Disember.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Seri Panglima Masidi Manjun sebelum ini dipetik berkata, orang ramai berkemungkinan membiarkan diri leka berhubung pematuhan protokol kesihatan ketika musim perayaan hujung tahun lalu. – FMT