KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR) menyambut baik usaha Kerajaan Pusat yang memberikan tumpuan kepada golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan wanita.
Menterinya, Ir. Shahelmey Yahya berkata, golongan sasar di bawah kementeriannya turut termasuk di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’.
Menurutnya, sistem sokongan dan program-program yang bakal diwujudkan adalah amat baik dan perlu sejajar dengan jangkaan bahawa Malaysia akan ke arah negara tua menjelang 2030 serta jumlah pendaftaran OKU yang direkodkan semakin bertambah.
“Kita menyambut baik pembentangan RMK12 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tadi. Selaku Menteri Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, kerana golongan sasar kementerian ini seperti warga emas, OKU dan ibu tunggal juga turut disentuh dalam RMK12.
“Perancangan Kerajaan Pusat untuk memperbanyakkan system sokongan kepada warga emas adalah selari dengan jangkaan bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara tua menjelang tahun 2030 nanti apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berumur 60 tahun ke atas.
“Begitu juga dengan pendaftaran OKU yang meningkat dan usaha-usaha untuk memperkasakan program-program yang berkaitan dengan OKU terutamanya dalam program keusahawanan, karnival kerjaya juga diperkasakan.
“RMK12 juga terus memberi penekanan terhadap peranan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Shahelmey yang juga merupakan Exco Kesihatan Negeri Sabah, berkata, perkhidmatan kesihatan akan lebih efisien dengan perancangan Kerajaan Pusat dalam RMK12 untuk membina lebih banyak klinik kesihatan di negeri ini.
“Perkhidmatan penjagaan kesihatan di negeri ini akan dapat dipertingkatkan dengan pembinaan klinik kesihatan yang lebih banyak di negeri ini,” katanya.
Beliau berharap, usaha kemakmuran bersama itu akan dapat dicapai menjelang 2030.