RMK12 Fokus Selesaikan Masalah Dihadapi Sabah dan Sarawak – Dr. Maximus

maximus.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai komitmen pihak kerajaan kepada negeri-negeri yang kurang maju, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Ucapan yang komprehensif dan padat itu dirumuskan dengan baik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mana tumpuan lebih diberikan kepada negeri-negeri yang kurang maju,” kata beliau sebagai reaksi kepada perbentangan RMK12 di Parlimen, hari ini.

Dr. Maximus berkata, jaminan Perdana Menteri untuk menyelesaikan permasalahan dan tuntutan yang tertunggak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menunjukkan Kerajaan Persekutuan komited menyelesaikan pembangunan dan keperluan asas yang dihadapi oleh Sabah dan Sarawak.

“Dana pembangunan yang diperuntukkan untuk negeri-negeri yang kurang maju, terutama Sabah dan Sarawak, amat dialu-alukan.

“Tidak pernah dalam Rancangan Malaysia yang sebelumnya memberikan tumpuan seperti itu kepada Sabah dan Sarawak dan MA63.

“Isu-isu MA63 adalah antara fokus dalam ucapan PM, dan turut mengatakan bahawa beliau secara peribadi akan terlibat dalam memantau segala pelan pelaksanaan di Sabah dan Sarawak,” kata Dr. Maximus.

Beliau memaklumkan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (HESS) akan segera menubuhkan unit pemantauan bersama dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi memastikan pelan pelaksanaan infrastruktur dilaksanakan, selaras dengan matlamat pembangunan MA63.-Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top