PAPAR: Sebanyak RM900 ribu masih diperlukan untuk menyiapkan sepenuhnya Kompleks Rumah Anak Yatim dan Asnaf (RAY) As Sakinah.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata jumlah itu bagi memadai kenaikan kos melebihi 50 peratus daripada kos asal, RM1.9 juta berikutan kenaikan harga bahan-bahan binaan selepas dunia dilanda pandemik Covid-19.
“Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Tabung Rumah As Sakinah hasil sumbangan dan infaq daripada individu serta organisasi dengan jumlah RM2 juta dan masih berbaki RM900,000 untuk dicari agar jumlah kontrak RM3.03 juta itu dapat dipenuhi.
“Namun, cabaran yang kita hadapi adalah kesan kenaikan harga kerana dunia yang kini berdepan dengan keadaan inflasi yang semakin meningkat.
“Pada tahun 2020, sewaktu kami memulakan perancangan reka bentuk projek ini kos yang dianggarkan sekitar RM1.9 juta tetapi disebabkan pandemik Covid-19 dan kenaikan harga bahan-bahan pembinaan, kini kosnya sudah meningkat kepada RM3.03 juta.
“Saya berharap dalam tempoh setahun ini kenaikan harga bahan binaan tidak drastik supaya pihak kontraktor boleh menyiapkan projek mengikut masa yang ditetapkan.
“Jadi, kepada para dermawan, kita mengalu-alukan infaq daripada tuan-tuan dan puan-puan rebutlah saham akhirat, saham kebajikan untuk diri kita masing-masing dan sama-samalah kita berusaha untuk menjayakan projek pembinaan Kompleks Rumah Anak Yatim dan Asnaf As Sakinah bagi memberi keselesaan dan keselamatan kepada penghuni rumah ini,” ujarnya.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Putatan menjelaskan, pihaknya akan memantau perkembangan serta kemajuan projek yang bermula Mac dan dijangka siap dalam tempoh 12 bulan dari sekarang.

Shahelmey (kanan) dan Samin dengan gambar reka bentuk Kompleks Rumah Anak Yatim dan Asnaf As Sakinah.
“Sebagai pemimpin di kawasan ini, saya akan memantau perkembangan perjalanan kemajuan kerja projek ini sehingga ia dapat disiapkan mengikut terma kontrak.
“Saya berpesan kepada kontraktor agar dapat melaksanakan tugas dengan baik mengikut skop dan spesifikasi yang telah dinyatakan dalam kontrak dokumen. Bagi jururunding serta pengurus projek untuk membantu memantau prestasi dan kemajuan kerja dari semasa ke semasa,” dedah beliau.
Tambahnya, dengan siapnya kompleks itu kelak 80 pelajar boleh ditempatkan, di samping tenaga pengajar dan sukarelawan yang berkhidmat di rumah kebajikan terbabit.
Sementara itu, Pengerusi RAY As Sakinah, Samin Ongki yang juga Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KYTS) memaklumkan seramai 34 pelajar lelaki dan perempuan, lima orang tenaga pengajar serta 15 sukarelawan.
“Selepas 12 tahun, anak kami ada di Universiti Malaya, Kolej Profesional Baitulmal, Kolej Universiti Islam Melaka yang kini dikenali sebagai Universiti Melaka dan baru-baru ini Kolej Teknologi Yayasan Sabah telah memilih dua orang anak dari Rumah As Sakinah untuk membuat diploma dan ditaja pengajian oleh Yayasan Sabah.
“Saya ingin memaklumkan daripada tender RM3.03 juta, kontraktor telah menyumbang kembali dalam bentuk wakaf tunai sebanyak RM100,000. Ini bermakna kami cuma perlu dana tidak sampai RM3 juta, persoalannya kami belum ada RM900,000.
“Namun, saya yakin kerja mulia ini akan dipermudahkan oleh Allah SWT dan tidak pernah para pemimpin kita membiarkan kita di sini,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kompleks RAY As Sakinah, hari ini.-PENERANGAN/sabah360online.com